BERKECIMPUNG dalam aktiviti kebajikan dan program kemasyarakatan menjadi keutamaan bagi Kelab MultiGeneration Group (M&G) membantu golongan yang memerlukan.

Presidennya, Clay Davis, berkata sejak tahun 2013, dia dan beberapa rakannya mula membabitkan diri dalam aktiviti kebajikan untuk membantu individu yang tidak berkemampuan.
Katanya, selain memupuk semangat dalam kalangan belia, idea itu tercetus bagi berkongsi rezeki kepada penduduk terdiri ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga yang ditimpa musibah.
“Fokus keutamaan kami adalah menggunakan wang atau material sendiri untuk disalurkan kepada penerima bantuan atau digunakan membeli barang keperluan kepada mereka”.
“Namun tidak lama kemudian, aktiviti kami mendapat ramai perhatian dari para belia dan berjaya menambah ahli sehingga dapat menubuhkan dan mendaftarkan kelab ini di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun 2017,” katanya.
Menurut Clay yang bekerja sebagai kakitangan awam di salah sebuah hospital, selain sektor awam, ahli kelab juga terdiri daripada sektor swasta mahu pun bekerja sendiri.
“Menerusi program ini, ia sedikit sebanyak menyedarkan ahli kelab yang tidak senasib mereka (penerima bantuan) berasa dipanggil untuk saling membantu”.
Clay menambah, masyarakat juga perlu bersama-sama memikul tanggungjawab membela nasib golongan kurang berkemampuan dengan memberi apa sahaja bantuan sama ada pakaian, makanan atau wang.
“Tidak salah sekiranya kita yang lebih mampu untuk membantu meringankan beban orang lain, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang mahu bersekolah tetapi tercicir akibat kekangan kewangan”.
“Apa sahaja jenis bantuan yang terdaya sangat penting kerana bantuan itulah yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka,” ujarnya.
Kelab terbabit kini mempunyai seramai 158 ahli dan aktif menjalankan misi bantuan setiap tahun di seluruh Sabah.
Baru-baru ini, antara program dijalankan adalah membantu mangsa banjir di Kampung Sugud, Penampang dan penduduk kurang berkemampuan di Kampung Mesilou, Kundasang dengan tajaan kenderaan kembara daripada Gezira Travel and Tours.
Bagi yang mahu menyertai kelab atau sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi Setiausaha kelab, Puan Siti Mahani Sidek @ Eva Armada di talian 012-889 9106.- Oleh: JOHARY INDAN
712 total views, 1 views today