Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 7 Dis 2025 — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa kemenangan besar diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu bukan kejayaan peribadi, sebaliknya manifestasi sokongan rakyat Kadamaian yang mahukan kesinambungan pembangunan dan pembaharuan di kawasan tersebut.
Sebagai Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon berkata majoriti besar yang diterimanya merupakan isyarat jelas bahawa rakyat menuntut perubahan, pentadbiran lebih cekap serta pelaksanaan projek pembangunan yang lebih teratur dan berkesan.
“Kemenangan ini bukan kemenangan Ewon Benedick seorang, tetapi kemenangan bersama. Ini adalah kemenangan rakyat Kadamaian.
Mandat besar ini datang bersama tanggungjawab untuk memastikan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian dapat direalisasikan,” katanya pada Majlis Perjumpaan Dengan Jentera Pilihan Raya Kadamaian di Kadamaian Square, pada Ahad.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada lebih 11,000 pengundi Kadamaian yang memberikan sokongan kepadanya pada PRN lalu.
“Terima kasih atas sokongan sepanjang kempen. Kini bukan lagi masa untuk berkempen, tetapi masa untuk bersatu, bekerjasama dan memperkukuh persahabatan demi pembangunan Kadamaian.
“Tanggungjawab utama kita ialah memenuhi harapan 11,977 pengundi yang memberikan mandat dengan majoriti 9,672. Majoriti besar ini menuntut pendekatan baharu. Cara lama ada kebaikannya, tetapi ruang penambahbaikan tetap wujud kerana rakyat mahukan pembaharuan. Maka, pentadbiran baharu melalui dasar Sabah First akan bermula di Kadamaian,” katanya.
Dalam komitmen memperkukuh ketelusan pentadbiran di peringkat akar umbi, Ewon mengumumkan bahawa pemilihan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di seluruh Kadamaian akan dilaksanakan melalui kaedah undian bermula Januari 2026.
“Jika rakyat memberi mandat kepada ADUN, mereka juga berhak menentukan siapa yang memimpin kampung mereka. Ini satu pembaharuan besar untuk memastikan pentadbiran lebih telus dan berkesan,” jelasnya.
Tempoh penggal dua tahun bagi jawatan tersebut memberi ruang kepada rakyat menilai keberkesanan kepimpinan kampung dan membuat perubahan sekiranya prestasi tidak memuaskan.
Mengenai peruntukan ADUN, Ewon menegaskan bahawa setiap kampung akan menerima agihan pembangunan secara adil dan sama rata, khususnya untuk projek berskala kecil.
“Setiap JKKK akan menerima sekurang-kurangnya RM20,000 bermula tahun depan untuk melaksanakan projek kampung secara terus, tanpa penglibatan kontraktor luar kecuali dipersetujui melalui mesyuarat rasmi JKKK.
JKKK mesti menjadi pelaksana projek kampung, bukan pemerhati. Rakyat perlu tahu siapa yang menguruskan projek dan siapa yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Ewon akan bertemu semua pastor dan wakil gereja dari seluruh Kadamaian pada 18 Disember untuk menyerahkan sumbangan sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Kadamaian akan diadakan pada 5 Januari 2026.
![]()