Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KCCI Kunci Pembangunan Keusahawanan, Sokong Agenda Sabah First – Ewon

0

PENAMPANG, 6 Dis 2025 – Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa Dewan Perniagaan dan Perindustrian KadazanDusun (KCCI) merupakan rakan strategik utama kerajaan dalam memperkukuh pembangunan keusahawanan serta menjayakan agenda Sabah First.

Beliau berkata, KCCI bukan sekadar menjadi suara usahawan tempatan tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina jaringan perniagaan dan mengukuhkan ekosistem keusahawanan negeri melalui penglibatan rakyat Sabah dalam sektor industri, perniagaan dan pelaburan.

“Agenda Sabah First bukan hanya tanggungjawab kementerian. Ia harus menjadi agenda bersama seluruh ekosistem keusahawanan termasuk KCCI, dewan perniagaan dan persatuan industri. Kita mahu rakyat Sabah menjadi pemilik ekonomi, bukan sekadar pemerhati,” katanya pada Majlis Pertabalan dan Aku Janji Ahli Jawatankuasa KCCI, di sini, semalam.

Ewon menekankan bahawa dasar yang diperkenalkannya ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini, iaitu Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, telah melaksanakan beberapa skim penting termasuk BEEP Plus untuk Sabah dan Sarawak, skim pembiayaan usahawan tamu, pembangunan Tamu Desa, serta pelantikan wakil dari kedua-dua wilayah sebagai penyumbang input kepada kementerian, termasuk KCCI.

“Itu adalah sejarah. Kini, kita ingin membina sejarah baharu Kerajaan Perpaduan Sabah melalui Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan bahawa agenda Sabah First menjadi asas pembangunan tiga ekosistem utama negeri: pelaburan, perniagaan dan keusahawanan, sambil memperkukuh standard serta kualiti produk dan perkhidmatan PMKS Sabah. Pensijilan dan peningkatan mutu produk juga menjadi fokus agar usahawan tempatan bersedia menghadapi persaingan lebih luas.

Selain itu, perjuangan Sabah First juga berkait rapat dengan agenda 40 peratus hasil negeri, di mana kerajaan menekankan agar syarikat luar yang beroperasi di Sabah memberi sumbangan setimpal. Ewon menekankan perkara ini semasa kunjungannya ke KKIP dan POIC, bertanya mengenai pembayaran cukai korporat syarikat luar kepada negeri.

“Sabah terlalu lama digambarkan sebagai negeri miskin. Perkara ini boleh diubah jika kita mencipta peluang pendapatan kepada rakyat. Sabah mesti dibina oleh rakyat Sabah dan hasilnya mesti kembali kepada rakyat Sabah,” katanya.

Ewon juga menjelaskan bahawa pemindahan portfolio pengangkutan, termasuk Sabah Ports Authority, Jabatan Keretapi dan Jabatan Dermaga, ke bawah kementeriannya akan memudahkan penyelarasan strategi pelaburan dan keusahawanan serta memperkemas perkhidmatan logistik pelaburan.

Beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan KCCI dan dewan perniagaan lain dalam memberi input kepada kementerian bagi memperkukuh hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

“Selagi saya diberi mandat memimpin kementerian ini, agenda Sabah First akan kekal menjadi landasan utama. Ia tidak akan berjaya jika hanya kementerian bergerak; ia harus dipikul bersama KCCI, dewan perniagaan, pemain industri dan seluruh ekosistem keusahawanan,” kata Ewon.

Ewon menambah bahawa beliau akan mengunjungi semua agensi di bawah kementerian dalam tempoh dua minggu bagi memastikan dasar dan tumpuan ekonomi negeri digerakkan sepenuhnya seawal Januari 2026.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.