Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP akan laksanakan projek Tamu Desa RM20 juta – PM 

0
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick menerangkan sesuatu mengenai Peln Pembangunan Penampang 2024 – 2035 kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sabil diperhatikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor

PENAMPANG: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM20 juta melalui Belanjawan 2024 akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia untuk melaksanakan Projek Tamu Desa.

“Cadangan Ewon (Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) supaya dana RM20 juta itu dikendalikan oleh KUSKOP, saya setuju.

“Daripada RM20 juta itu, RM1 juta diberikan untuk pengurusan dan pembangunan penjaja dan peniaga kecil (Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat kebangsaan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023, di Buhavan Square, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya khabar kepada salah seorang peniaga

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil yang telah memberi dukungan serta sumbangan kepada pertumbuhan sektor ekonomi negara.

Beliau turut menyatakan mengenai keperluan untuk membangunkan warung serta gerai rakyat yang bersih dan indah sekali gus menjadi tarikan yang berkesan kepada pengunjung dan pelancong di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara merealisasikan usaha ini kerana sebahagian besar rakyat atau pelanggan masih memilih lokasi berkenaan ketimbang restoran-restoran mewah.

“Harus ada tekad daripada semua pihak untuk memastikan negara kita dikenali dengan warung, gerai dan restoran bersih sebagai mercu tanda, tidak hanya gedung pencakar langit atau hotel lima bintang semata.

“Selain itu, kita juga harus memberi tumpuan kepada keindahan landskap taman di setiap bandar, lalu mengekalkan bangunan-bangunan yang punyai nilai sejarah di negara ini dalam membangun kota warisan.

“Langkah ini penting bagi terus mempertahan nilai sejarah dalam setiap projek raksasa yang ingin dijalankan, selain memastikan pelan pembangunan direncana dengan baik demi memastikan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, Ewon merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas komitmen kelulusan untuk kementeriannya melaksanakan Projek Tamu Desa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

“Dengan demikian kementerian boleh menjadi pelengkap kepada usaha untuk menyediakan gerai-gerai keusahawanan untuk penjaja dan peniaga-peniaga kecil di luar bandar.

“Sebahagian daripada peruntukan tersebut iaitu RM1 juta, kita akan salurkan kepada pengurusan dan pembangunan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Peringkat Kebangsaan.

“Ini merupakan pengumuman yang sangat positif dan kami di kementerian akan terus komited memperkasakan lagi perkhidmatan kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu itu ketika berucap, Ewon berkata, komitmen Perdana Menteri memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil terserlah melalui peruntukan besar bagi menyediakan kiosk-kiosk penjaja yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

“Bagaimanapun, komuniti penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar juga memerlukan pembelaan yang sama. Mereka berjualan di tamu-tamu tradisi, tamu mingguan dan tepi-tepi jalanraya yang sudah pastinya menginginkan kemudahan gerai dan tamu desa yang lebih baik.

“Sebab itulah saya dan kami di KUSKOP telah mengemukakan cadangan projek Tamu Desa kepada Kementerian Kewangan semasa sesi libat urus penyediaan belanjawan agar penyediaan dan penaiktarafan kemudahan gerai keusahawanan dapat disediakan dalam Belanjawan 2024.

“Mewakili komuniti penjaja dan peniaga kecil, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Ewon berkata, tahun  ini, KUSKOP telah memperkenalkan Pelan Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil, Pelan Pemformalan Usahawan Informal dan Garis Panduan Perniagaan Daripada Rumah sebagai antara inisiatif membangunkan daya saing komuniti penjaja dan peniaga kecil.

“Selain itu, KUSKOP juga mengaktifkan semula Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan sebagai platform libat urus di antara Kerajaan dengan komuniti ini.

“Untuk ini, saya memohon agar YAB Perdana Menteri dapat mendokong inisiatif-inisiatif KUSKOP dengan peruntukan pembangunan bagi hal-ehwal penjaja dan peniaga kecil.

“Sungguhpun portfolio hal ehwal penjaja dan peniaga kecil telah dipindahkan daripada KPDN kepada KUSKOP pada pentadbiran yang lepas, namun pemindahan ini tidak disertai dengan dokongan belanjawan yang menjadi cabaran besar setiap kali saya dan warga Kementerian turun padang mencaknai isu, cabaran, keperluan dan harapan komuniti penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

 

 359 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.