Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Naiktaraf padang Tenghilan menafaat besar golongan belia – Jahid

0

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, golongan belia di Pekan Tenghilan akan meraih menafaat besar dengan usaha kerajaan menaiktaraf padang di situ.

Tambahnya dengan kemudahan itu, peluang kepada generasi ‘Y’ lebih besar untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berkaitan dapat diadakan dengan lebih selesa di kawasan itu.

“Masyarakat di Tenghilan terutamanya belia bakal menikmati kemudahan seperti padang dan gelanggang bola tampar di sini tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke Padang Pekan Tenghilan, bersama para pemimpin masyarakat Tamparuli, sini, pada Ahad.

“Sukan merupakan wadah memupuk integrasi nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang menjadi asas penting bagi masa depan negara.

Katanya, aktiviti bersukan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa sama menerapkan disiplin dan integriti dalam kalangan masyarakat.

“Selain peluang untuk beriadah, kita juga dapat memaksimakan bakat sukan terutamanya pemain-pemain bola sepak yang dilihat berpotensi untuk digilap bakat mewakili negara pada masa akan datang,” katanya.

“Justeru para pemimpin, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta semua penduduk perlu bersama-sama menjaga kemudahan tersebut dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah Jahid, kerajaan sentiasa memandang berat keperluan rakyat setempat.

Justeru, beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berharap agar semua pihak dapat mencari cara untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia Dan Sukan Sabah, Sr. Mohd. Yusrie Abdullah, berkata, projek yang sedang dijalankan sekarang adalah penaiktarafan padang sedia ada, pembinaan tandas awam bagi pengguna padang dan gelanggang bola tampar.

“Bagi belia dan penduduk, jagalah kemudahan ini sebaiknya, gunakan dengan betul dan ikutlah peraturan supaya kerajaan pun senang untuk menyediakan lebih banyak kemudahan di kampung masing-masing,” jelasnya.

Jelasnya, ia juga merupakan salah satu usaha kementerian bagi membantu persatuan berdaftar yang bertanggungjawab menjaga padang berkenaan, untuk menjana pendapatan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti di situ.

“Oleh itu, kami berharap semua pihak dapat bersama-sama kami menjaga kemudahan ini seperti disarankan oleh YB Datuk Jahid Jahim,” ujarnya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.