Oleh DG HENRY dan EKOK AMIN
PARTI BERSATU SABAH (PBS) menghargai minat parti Warisan untuk bekerjasama dengannya untuk mengharungi Pilihan Raya Umum Ke – 15, tetapi menegaskan untuk terus kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden parti itu Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, isyarat politik yang dipersembahkan oleh Datuk Seri Mohd Shafie Afdal untuk berganding tangan bagi menghadapi PRU sangat dihargai.
“Namun, sebagai parti pelbagai kaum tempatan, PBS komited sepenuhnya dan setia sebagai pengaasas GRS bersama rakan yang lain,” Tegas Ongkili dalam satu kenyataan di ibu negeri Sabah pada Selasa.
Untuk rekod GRS kini dianggotai lima buah parti. termasuk Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Dr. Ongkili berkata, PBS kekal setia dalam Gabungan Rakyat Sabah.
Pada Isnin, Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal dalam satu kenyataan dipetik sebagai memberitahu untuk bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi membentuk gabungan tempatan.
Presiden parti Warisan itu berkata, kepemimpinan di peringkat akar umbi telah menyuarakan tentang keperluan membentuk gabungan di peringkat tempatan.
“Di peringkat akar umbi, bukan hanya suara daripada luar tetapi suara dari parti kita tentang perlunya gabungan dengan parti tempatan.
“Antara yang saya lihat ialah PBS kerana saya tahu rakan-rakan kita, dahulu pun saya satu sekolah dengan Maximus (Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili) dan saya juga bersamanya dalam Kabinet dahulu.
“Di samping itu, saya kenal sebahagian pimpinan peringkat akar umbi (PBS). Saya rasa kalau itu menjadi satu pilihan, tiada masalah untuk bersama dengan PBS,” Katanya.