Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pemilihan JPKK Undian – Pemuda Umno

0

Oleh EKOK AMIN

SIPITANG (Sabah, Malaysia): Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang menyambut baik cadangan pengisian jawatan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di peringkat kampung dibuat secara pemilihan dan bukan lantikan terus daripada pihak Kerajaan Negeri.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang, Samsul Ahli berkata, pemimpin muda dan akur umbi mahukan pengisian jawatan itu dibuat secara demokrasi dengan pemilihan dibuat oleh penduduk kampung itu sendiri.

Katanya, cadangan itu merupakan pembaharuan yang disuarakan oleh generasi muda di kampung-kampung yang mahukan pemimpin yang dipilih adalah mereka yang komited dan gigih berusaha untuk kemajuan dan keselamatan kampung.

“Jika sebelum ini Pengerusi dan AJK JPKK dibuat secara lantikan terus oleh pihak kerajaan, kini sudah tiba masanya ianya dibuat secara demokrasi dan dipilih sendiri oleh penduduk kampung secara undian pada pemilihan yang dibuat.

“Dengan cara ini, generasi muda dan penduduk kampung itu sendiri dapat memilih Pengerusi dan AJK  JPKK yang terdiri daripada mereka yang mempunyai taraf pendidikan yang dapat menggalas tanggungjawab seiring dengan keadaan zaman ICT ketika ini.

“Sering berlaku pemimpin politik di peringkat kampung yang mempunyai hubungan baik dengan Wakil Rakyat atau pemimpin parti yang dipilih sebagai JPKK walaupun mereka tidak mampu memikul tanggungjawab itu. Akibatnya penduduk kampung yang rugi kerana tiada kemajuan dicapai di kampung mereka.

“Kita perlukan politik dalam JPKK, sebaliknya mereka yang dipilih adalah yang terbaik dan dipilih oleh penduduk kampung itu sendiri melalui sistem undian semasa pemilihan JPKK”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Samsul Ahli berkata, sekiranya pengisian jawatan itu dibuat secara lantikan terus dan individu yang dilantik itu pula ada kepentingan politik, maka mereka akan sibuk mengejar projek Wakil Rakyat sahaja, sehingga mengabaikan tanggungjawab membangun dan memajukan kampung mereka.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO menerima banyak maklum balas daripada generasi muda dan penduduk kampung yang mahukan pengisian jawatan JPKK dibuat secara undian dan bukan lantikan terus.

“Jadikan ini sebagai satu polisi dalam mentransformasi urus tadbir JPKK di Sabah, agar mereka yang dipilih menerajui JPKK oleh penduduk kampung itu sendiri adalah mereka yang mampu menyumbang untuk pembangunan dan kemajuan kampung dan rakyatnya”, tegasnya.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.