Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pemimpin berjiwa rakyat,  Ewon korbankan cuti santuni rakyat

Pagi di Penampang, Petang di Kadamaian

0
EWON

KOTA BELUD: Cuti umum hari pekerja tidak menghalang Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat di dua Lokasi berbeza.

“Pagi di Penampang, petang di Kadamaian,” Ewon memberitahu media ketika ditemui di sini.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata,  beliau komited melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di dua kawasan yang diwakilinya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian memberitahu, pada Khamis beliau menghabiskan masa Panjang bersama rakyatnya di kedua-dua kawasan melalui program sambutan Pesta Kaamatan.

“Hari ini cuti Hari Pekerja, tetapi sebagai wakil rakyat, inilah masanya kita menyantuni rakyat. Pagi tadi saya di Penampang dan sebelah petang pula di Kadamaian kerana saya komited terhadap tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat di kedua-dua kawasan,” katanya.

Ewon memulakan hari dengan menghadiri sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu ke-20, di Gereja St Michael, Penampang.

Misa sempena sambutan Pesta Kaamatan itu dipimpin oleh Bapa Uskup Datuk John Wong dan turut dihadiri oleh Duta Vatikan ke Malaysia, Most Rev Archbishop Wojciech Zaluski.

“Semoga sambutan ini mengeratkan kesatuan dan kebersamaan kita,” katanya.

Pada sebelah petang, Ewon menghadiri dan merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Kampung Nahaba, Kadamaian seterusnya menyempurnakan perasmian Dewan Terbuka Tamu Desa kampung itu.

“Kemudahan Tamu Desa Nahaba siap dibina tahun lalu menggunakan peruntukan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah inisiatif tambahan khas bagi Sabah dan Sarawak.

“Saya percaya kemudahan ini akan memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya para usahawan yang majoritinya terdiri daripada golongan ibu dan wanita,” katanya.

Sempena program itu, Ewon menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk pemasangan kipas dan lampu solar di bangunan Tamu Desa.

Beliau turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Gereja SIB Kg Nahaba bagi pembinaan tandas seperti yang dimohon oleh pihak gereja.

Selain itu, beliau meluluskan peruntukan khas menteri berjumlah RM50,000 untuk pembinaan sebuah astaka di padang kampung bagi kegunaan komuniti.

Ewon meneruskan programnya ke Kampung Mangkulat bagi menyampaikan hadiah pertandingan badminton anjuran Gen-Y Mukim Gaur.

“Saya turut menyampaikan sumbangan Sentuhan Kasih ADUN Kadamaian sebanyak RM15,000 kepada JKKK Kg Mangkulat untuk pemasangan beberapa tiang lampu solar di jalan perumahan serta kerja-kerja menabur batu kelikir di jalan menuju ke Gereja SDA kampung ini,” katanya.

Ewon mengakhiri program hari ini dengan menziarahi sebuah keluarga di Kg.Gaur.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.