LONDON: Pemimpin Eropah memperkukuh sokongan kepada Ukraine menerusi satu sidang kemuncak di London semalam.
Mereka berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan keselamatan dan membentuk pakatan bagi menyokong sebarang usaha damai sementara di Ukraine.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dalam satu temubual dengan akhbar negara itu berkata pihaknya bersama Britain mahu mencadangkan gencatan senjata separa selama sebulan.
Syor itu selepas berlangsung perbincangan selama dua hari yang menghimpunkan 18 pemimpin Eropah, rentetan ketegangan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sewaktu sidang media di Rumah Putih baru-baru ini.
Sidang kemuncak di London berlaku pada saat genting bagi Ukraine yang sedang berhadapan dengan sokongan tidak menentu AS, serta mengalami tekanan dalam perang tiga tahun menentang Russia.
Diburukkan lagi dengan pertelagahan antara Trump dan Zelensky sehingga menimbulkan persoalan baharu mengenai komitmen AS terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, berkata Britain, Perancis dan yang lain akan bekerjasama dengan Ukraine dalam satu pelan untuk menghentikan peperangan, yang kemudiannya mereka akan kemukakan syor itu kepada Washington.
“Ini bukan masanya untuk mengadakan lebih banyak perbincangan. Ini masa untuk bertindak. Masa untuk bangkit, memimpin dan bersatu di sekeliling pelan baharu bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan.
“Tanpa jaminan pembabitan AS, Eropah mesti memikul tanggungjawab utama,” katanya yang menyifatkan Eropah kini berada di persimpangan sejarah.
Menurut Starmer, beberapa negara bersedia untuk menyokong syor pelaksanaan gencatan senjata, namun beliau tidak menyebut secara spesifik negara terbabit.
Starmer dan Macron turut menyatakan mereka bersedia menghantar tentera masing-masing ke Ukraine bagi membantu mengekalkan usaha damai.
Selepas pertemuan pemimpin negara semalam, Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, memberi amaran bahawa benua itu perlu segera memperkukuh aspek pertahanan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan situasi buruk.
Sementara itu, Perdana Menteri Poland, Donald Tusk pula menggesa AS dan Eropah tidak tunduk kepada ugutan dan pencerobohan Russia.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni yang kerajaannya dianggotai ahli politik pro-Moscow dilihat kemungkinan tidak akan menghantar tenteranya ke Ukraine.
Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, menegaskan lebih banyak negara Eropah berjanji untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, menyuarakan kebimbangan terhadap pemimpin Eropah yang kebanyakan menyokong Ukraine memilih peperangan daripada kedamaian.