Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pemuda lemas bantu pelancong di lautan Kudat

0

NIAT terpuji seorang pemuda untuk menyelamatkan seorang pelancong wanita yang hampir lemas berakhir dengan kematian, apabila dia sendiri hilang sebelum ditemukan mati lemas di Pantai Hisbiscus Villa, Jalan Kampung Marang Parang (Kudat, Sabah, Malaysia) di sini, pada Isnin.

Mangsa Estilly Lieo Uainis, 19, dikatakan terjun ke laut selepas menyedari seorang wanita warga asing meminta tolong di tengah laut.

Kejadian malang itu berlaku kira-kira jam 11/30 pagi waktu tempatan.

Mangsa yang dikatakan baru saja bekerja di pusat pelancongan berkenaan terus bertindak terjun untuk menyelamatkan pelancong terbabit, tetapi saksi memberitahu mangsa tiba-tiba hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, 11 anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Mengikut laporan awal, wanita pelancong yang dikatakan hampir lemas terbabit berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa.

“Manakala, mangsa pula dikatakan hilang hampir sejam sebelum ditemukan rakan sekerja lain yang berusaha mencarinya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ishak berkata, mangsa diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.35 petang,” katanya. – Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA

 324 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.