Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Salah guna dana RM600 bilion? Tengku Zafrul  sedia Bekerjasama Dengan SPRM

0

PETALING JAYA (Malaysia): Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau bersedia memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan dakwaan salah guna dana bernilai RM600 billion.

Begitu pun jelasnya, sehingga kini belum ada panggilan daripaada SPRM untuk memanggilnya.

“Setakat ini tak ada panggilan daripada SPRM. Kalau dapat panggilan sudah tentu kita akan kerjasama,” katanya dan memberitahu bahawa tidak ada apa-apa yang perlu disorok mengenai dakwaan itu.

“Apa yang penting, tak ada perkara yang kita nak sorok, jadi sudah tentu kita lebih dari bersedia (bagi kerjasama) jika dapat panggilan,” katanya kepada pemberita di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama Pangkalan Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet baru-baru ini berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Media tempatan semalam melaporkan, Muhyiddin; Tengku Zafrul dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dijangka dipanggil bagi memberi keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan menyeleweng dana berjumlah RM600 bilion.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan tidak takut disiasat dan melafazkan sumpah bahawa beliau tidak pernah mengambil satu sen pun wang tersebut kerana bukan hak miliknya.

Katanya, jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion, sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

Pada 12 April 2021, Muhyiddin telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Jumlah itu masing-masing melibatkan RM340 bilion bagi pakej-pakej rangsangan dan RM322 bilion untuk belanjawan.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.