Oleh DG HENRY
SKUAD bola sepak Sabah sudah bersedia menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Kuala Lumpur bulan depan.
Sabah disenaraikan dalam Kumpulan C bersama Terengganu dan Kelantan.
Pengurus pasukan, Mohd Khairul Nizaem Moktar berkata, pasukannya sudah siap siaga menggalas cabaran menghadapi temasya sukan berkenaan.
Katanya, walaupun Sabah tidak menghadapi laluan begitu sukar dalam Kumpulan C namun pasukan mesti lebih berhati-hati mengharungi saingan pihak lawan.
“Kita menjangka mampu melepasi cabaran peringkat kumpulan untuk mara ke saingan separuh akhir,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut beliau, pasukannya akan berusaha untuk mencapai sasaran untuk mengutip pingat emas dan berharap pemain-pemain akan dapat merealisasikannya.
Sabah dijangka memulakan kempennya pada termasya itu dengan menentang Terenggan di Stadium UKM, Bangi pada 13 September dan bertemu Kelantan di stadium yang sama pada 17 September ini.
Beliau menambah, dengan persiapan rapi dilakukan jurulatihnya Adzrien Harun dan penolongnya Sudirman Garamah sejak beberapa minggu yang lalu termasuk mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan akan membantu pasukan melakukan yang terbaik pada temasya itu.
Katanya, para pemain dan pegawai akan berangkat ke ibu negara pada 1 September memandangkan pasukannya juga akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di sana termasuk dengan KL Rovers pada 6 September dan Institut Penilaian Negara (Inspen) pada 8 September.
“Ini merupakan persiapan terakhir pasukan sebelum menghadapi perlawanan sebenar pada 13 September ini,” ujar Khairul Nizaem.