KENINGAU: Walaupun Datuk Sairin Karno mengesahkan bahawa Umno Bahagian Keningau sudah bersedia menghadapi pilihanraya pada bila bila masa, namun tegasnya pilihanraya awal tidak perlu dibuat pada masa terdekat.
“Ini kerana kita memberi peluang kepada perlaksanaan projek yang dijanjikan semasa pilihanraya ke-13 yang lalu,” jelasya dan menambah, masih banyak janji pilihanraya yang belum ditunaikan dan rakyat berhak untuk menikmatinya sebelum PRU-14.
Sairin yang merupakan Ketua Umno Bahagian Keningau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) mula menunaikan janji-janji pilihanraya itu dan ia mengambil sedikit masa untuk diselesaikan dengan sepenuhnya.
Ketua Umno itu bagaimana pun tidak menolak bahawa pilihanraya ke-14 akan berlaku pada tahun ini, dan katanya sebaiknya pada selepas musim haji pada bulan September ini.
“Jika ini berlaku, maka kita hanya mempunyai kira-kira enam atau tujuh bulan lagi,” jawabnya kepada pengamal media ketika ditemui selepas perasmian Program Kasihi Pekebun (MOHNGETEH) anjuran RISDA daerah Keningau yang dilangsungkan di Kg. Banjar pada Khamis.
Sairin berkata, Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun ini, dan katanya acara mega itu perlu dilangsungkan sebelum pilihanraya ke-14 dilakukan.
Mengenai program itu, beliau mahu Risda Keningau supaya lebih proaktif untuk mendekati pekebun-pekebun kecil, khususnya untuk memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi itu selain program penanaman getah.
Sejak tahun 2010, seramai 950 orang pekebun getah di Keningau menikmati kemudahan yang diberikan oleh Risda, melibatkan seluas 3600 hakter.
Bersma di program itu ialah Pegawai Risda Keningau Ahmad Zharif b. Arbi, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N. 34 Liawan Tuan Sahanip Jamil, Setiausaha Umno Bahagian Keningau Hadimin Jumburi serta ketua-ketua masyarakat di kawasan itu.