Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO Kukuhkan Sokongan di Melalap, Buka Tiga Cawangan Baharu dan Tarik Ahli Baru

0

TENOM – Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terus memperkukuh kedudukan di kawasan pedalaman Sabah apabila Bahagian UPKO Tenom berjaya membuka tiga lagi cawangan baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 Melalap, sekali gus menarik penyertaan ahli baharu secara aktif.

Dalam siri jelajah akar umbi yang berlangsung minggu ini, tiga cawangan baharu telah dilancarkan secara rasmi, masing-masing di:

  • Kg Mangkalias (PDM Paguokon),
  • Kg Pansailon (PDM Lagud), dan
  • Batu 90, yang turut menyaksikan penyertaan ahli baharu secara signifikan.

Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajit, berkata pencapaian ini adalah bukti jelas bahawa UPKO semakin diterima oleh penduduk tempatan, khususnya generasi muda dan pengundi atas pagar yang semakin yakin dengan kepimpinan parti.

“Rakyat Melalap semakin memahami perjuangan dan visi UPKO. Pembukaan cawangan ini bukan sahaja mengembangkan jaringan parti, tetapi juga menunjukkan bahawa gelombang perubahan sudah mula bertapak di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelas Junik lagi, populariti dan kepercayaan terhadap UPKO melonjak sejak Presiden parti, Datuk Ewon Benedick, mengambil alih tampuk kepimpinan. Beliau kini menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, selain terkenal sebagai suara lantang memperjuangkan hak Sabah di Parlimen.

“Kepimpinan YB Datuk Ewon adalah faktor penting dalam menarik minat rakyat, kerana beliau membawa harapan dan rekod kerja yang tulus. Beliau bukan hanya bercakap soal pembangunan, tetapi melaksanakannya secara inklusif – tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik,” tambah Junik.

Menurut Junik, usaha menyantuni rakyat telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu melalui pelbagai inisiatif yang menjurus kepada pembangunan pendidikan, ekonomi dan kebajikan masyarakat setempat.

Bantuan untuk warga emas dan golongan OKU turut diberikan secara menyeluruh, dengan tumpuan kepada keberkesanan pelaksanaan, bukan retorik politik.

“UPKO bekerja dalam diam, tetapi hasilnya nyata. Ramai penduduk yang menerima manfaat tidak tahu pun bantuan itu datang dari program kita, kerana kita tidak memilih bulu,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, UPKO Tenom akan terus menggerakkan siri jelajah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh DUN Melalap.

Aktiviti tersebut merangkumi pembukaan cawangan, pendaftaran ahli baharu, sesi libat urus bersama penduduk, penerangan dasar parti, serta pengukuhan struktur jentera di peringkat akar umbi.

“Kami akan terus turun padang hingga saat terakhir sebelum DUN dibubarkan. UPKO bukan sekadar hadir semasa pilihan raya – kami kekal berkhidmat sepanjang masa,” tegas Junik.

Dengan penerimaan rakyat yang semakin menggalakkan, UPKO dilihat berada pada landasan yang tepat untuk mencabar kedudukan sedia ada di DUN N.42 Melalap. Kehadiran cawangan baharu dan sokongan akar umbi yang semakin meluas memberi petanda bahawa gelombang perubahan politik di pedalaman Sabah kian kuat.

Dalam konteks ini, UPKO bukan sahaja dilihat sebagai sebuah parti tempatan yang relevan, tetapi juga sebagai simbol perjuangan untuk masa depan rakyat Sabah yang lebih adil, progresif dan bersatu.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.