BANGKOK: Akibat desakan hidup, seorang warga emas berusia 60 tahun sengaja mencuri tiga buku sabun dengan harapan ditangkap dan dimasukkan ke penjara.
Lapor Thaiger, Pitchit yang merupakan gelandangan itu sengaja berbuat demikian supaya mendapat makanan dan tempat berteduh.
Lelaki itu dilaporkan diberkas di daerah Sattahip, wilayah Chon Buri, kira-kira pukul 3.30 petang, 29 Julai lalu.
“Pitchit mencuri tiga buku sabun berharga 17 baht (RM2.09) setiap satu dari sebuah farmasi, sekali gus menjadikan jumlah kecurian sebanyak 51 baht (RM6.28).
“Kejadian tersebut dilaporkan oleh pemilik farmasi itu, Wirawat Korsirivalanon kepada pihak polis,” kata polis.
Bagaimanapun, seorang penduduk dikatakan cuba campur tangan dan berhasrat membayar harga sabun itu, namun Pitchit menolaknya.
Pichit berkata, sekiranya dia membayar harga sabun itu, besar kemungkinan dia akan berjalan tanpa hala tuju dan akhirnya mati kelaparan.
“Sekurang-kurangnya saya dapat menikmati makanan tiga kali sehari, mempunyai katil dan rakan untuk bersembang.
“Jika saya berada di luar, mungkin saya akan mati kelaparan,” luahnya.