Oleh DG HENRY

TIGA lagi ahli jawatankuasa Warisan Sabah Bahagian Pensiangan keluar, menyaksikan parti pimpinan Datuk Seri Shafie Afdal di kawasan pedalaman Sabah menunggu masa untuk retak sepenuhnya.
Kali ini Edward Kandok dan Jackrison Kilan dan Amstrong Onolon yang masing-masing Ahli Jawatankuasa tertinggi bahagian itu.

Edward, mantan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook merupakan nadi penting Warisan Pensiangan, sementara Jackrison pemimpin muda etnik Murut Nabawan dan Amstrong mantan Pemaju Mukim Transpegalan.
Mantan Pengarah Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid Dr. Oswal Iggau @ Aisat, disusuli mantan Penyelia Pembangunan Masyarakat (CDO) Sook, Robinson Rusikan dan Azahar Harun, Pemaju Mukim Ansip.

Memberitahu The Borneo Digest di Keningau pada Isnin, Edward berkata, mereka telah memutuskan untuk memberi sokongan penuh kepada parti baharu yang diasaskan oleh Presiden KDM Malaysia Datuk Peter Anthony.
“Halatuju parti baharu yang beliau asaskan (Datuk Peter Anthony) cukup jelas … semangat baharu untuk rakyat Sabah khususnya etnik KDM untuk maju jauh ke hadapan,”.
“Kami optimis parti baharu yang beliau (Datuk Peter Anthony) asaskan merupakan peluang terbaik bagi rakyat Sabah untuk mengubah lanskap politik yang terbaik,”.
“.. Dan parti baharu ini merupakan semangat baharu bagi etnik KDM,” Katanya.
Jumaat lalu, ribuan rakyat pelbagai lapisan menghadiri majlis penerangan penubuhan parti baharu yng disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony, sekaligus menolak tanggapan sonsang yang menuding mantan Naib Presiden parti Warisan itu hilang pengaruh.
“Datuk Peter Anthony seorang pemimpin muda KDM yang sangat berpengaruh dan dihormati oleh semua lapisan rakyat di negeri ini,” Tambah Edward.