
PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 30 Sept 2025 – Agenda pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah terus diperkukuh apabila 182 usahawan negeri ini menerima suntikan geran pembiayaan berjumlah RM18.9 juta di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) 2.0 dan BEEP Plus. Penyaluran geran strategik ini dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya SME Corp. Malaysia, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan terhadap pengukuhan daya saing serta kelestarian PMKS di Sabah.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata daripada jumlah tersebut, 44 syarikat menerima geran BEEP 2.0 bernilai RM7.42 juta, manakala 138 syarikat PMKS menerima geran BEEP Plus berjumlah RM11.48 juta.
Menurut beliau, BEEP Plus adalah inisiatif baharu yang diperkenalkan pada 2023 melalui Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara – Perspektif KUSKOP, dengan memberi fokus khusus kepada keperluan PMKS di Sabah dan Sarawak yang berdepan cabaran kos operasi dan logistik lebih tinggi.
“BEEP Plus telah kita reka bentuk berdasarkan libat urus bersama usahawan PMKS Sabah, termasuk menambah dua komponen baharu iaitu pembiayaan sewaan premis perniagaan dan perolehan bahan mentah. Sejak diperkenalkan, seramai 197 usahawan Sabah dan Sarawak telah menerima manfaat secara langsung,” jelasnya ketika merasmikan Hari Terbuka Hab PMKS Sabah dan Sesi Ramah Mesra bersama penerima BEEP di Hotel D’Arc, Penampang.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Dato’ Nainy, bersama wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan. Pada acara itu, Ewon turut menyampaikan geran BEEP bernilai RM2.07 juta kepada 15 usahawan Sabah.
Ewon berkata, sambutan terhadap BEEP Plus amat menggalakkan dengan jumlah permohonan melebihi peruntukan asal RM5 juta, sekali gus mendorong KUSKOP mengemukakan permohonan tambahan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memperluas capaian manfaat kepada lebih ramai usahawan Sabah dan Sarawak.
“Saya meletakkan harapan besar supaya RMK-13 nanti memberi ruang lebih luas kepada program khas Sabah dan Sarawak termasuk BEEP Plus, Projek Tamu Desa serta pelbagai inisiatif lain yang telah kita laksanakan sejak dua tahun lalu. Fokus tambahan ini penting agar usahawan Sabah dan Sarawak dapat bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun Sabah dan Sarawak diberi perhatian khas, kementerian tetap komited memperkukuh ekosistem keusahawanan di seluruh negara. Sehingga 2024, KUSKOP telah menyalurkan lebih RM9.5 bilion pembiayaan kepada 333,000 usahawan dan koperasi di Malaysia, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memacu sektor PMKS sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Majlis tersebut turut menyaksikan sesi dialog interaktif antara penerima geran BEEP dengan pihak kementerian, di mana pelbagai cadangan dan pandangan dikemukakan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan di Sabah.
![]()