PENAMPANG, 5 Ogos 2025 – Seramai 184 usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak telah menerima manfaat di bawah inisiatif Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP PLUS) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2023, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Inisiatif ini dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dalam bentuk geran padanan bagi menyokong pertumbuhan dan daya saing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah dan Sarawak.
“BEEP PLUS merupakan pendekatan bersasar yang saya perkenalkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara – Perspektif KUSKOP, yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan berdasarkan isu dan keperluan setempat di Sabah dan Sarawak,” jelas Ewon.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi enam usahawan penerima geran BEEP PLUS di sekitar Penampang dan Putatan, yang menerima bantuan antara RM20,000 hingga RM245,000 setiap seorang.
Jelas Ewon lagi, pelaksanaan BEEP PLUS turut diperkasa melalui peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta kepada SME Corp Malaysia selepas pengumuman Agenda Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri pada tahun 2023.
“Sehingga kini, sejumlah RM15.68 juta telah disalurkan kepada 184 usahawan, dan maklum balas daripada penerima menunjukkan bahawa bantuan ini telah menyumbang kepada peningkatan produktiviti, hasil jualan serta membantu mereka menangani kos operasi perniagaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu sesi libat urus bersama penerima geran BEEP PLUS akan diadakan pada bulan September ini di Sabah. Sesi tersebut akan dijadikan platform dialog belanjawan serta rujukan awal untuk kajian separuh penggal Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
Dalam pada itu, Ewon menegaskan komitmen KUSKOP untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif BEEP PLUS dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030, khususnya di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri dan Bumiputera Sabah.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, serta Pengarah SME Corp Sabah, Valentine Thomas.
![]()