
TENOM (Sabah, Malaysia) – Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony berkata, kawasan Melalap sangat beruntung kerana memiliki khazanah rimba semulajadi yang bernilai tinggi sebagai produk pelancongan.
Berdasarkan fakta katanya, Melalap yang terkandung dalam kawasan Parlimen Tenom antara Sembilan buah kawasan di negeri ini yang termasuk dalam Rizab Biosfera Banjaran Crocker.
Lapan kawaasan lain ialah Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Tuaran, Keningau, Tambunan dan Ranau.
“Kita sangat bertuah dengan kedudukan daerah ini yang memiliki khazanah hutan tropika yang mampu mengambit kehadiran pelancong khususnya yang meminati pengembaraan jelajah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Taklimat dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) Daerah Tenom di sini, hari ini.
Teks ucapan Peter disampaikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Melalap Nossil Besayu
Program jelajah dan taklimat itu digarap sebagai persiapan sambutan Hari Komuniti Rizab Biosfera Banjaran Crocker 2020 peringkat negeri Sabah yang akan diadakan pada 11 hingga 12 Jun depan.
Peter yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, program yang diadakan itu bertujuan untuk memberi penerangan mengenai objektif dan faedah pengistiharan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) khususnya kepada komunti yang berada dan tinggal di sekitar rizab itu.
“Program ini sangat penting kepada penduduk yang tinggal di kawasan rizab, justeru ia perlu dianjurkan secara berkala bagi memudahkan penduduk memahami konsep rizab itu dengan lebih mendalam, “ katanya.
Peter bersetuju supaya Pusat Rizab Biosfera untuk pendidikan alam sekitar dan informasi pelancongan dibina di kawasan Melalap.
Jelasnya, pusat itu sangat penting untuk memberi kefahaman kepada masyarakat yang tinggal di kawasan rizab bagi mendapatkan pendidikan berterusan berkaitan penjagaan alam sekitar.