27 Buah rumah musnah terbakar di Pulau Bum Bum Semporna
.. Di Beaufort seorang penagih gam terperangkap di jambatan
PULAU Bum Bum Semporna (Sabah) pada Isnin dikejutkan dengan kebakaran melibatkan sebanyak 27 buah rumah di kampung Tabunan kira-kira jam 1.40 petang.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah mengesahkan kesemua rumah jenis tidak kekal itu musnah.
Kenyataan jabatan itu dipetik sebagai berkata, seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan BBP Atas Air digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati api sedang marak dan telah memusnahkan beberapa buah rumah di situ.
Kenyataan jabatan itu memberitahu, mengalami kesukaran semasa menjalankan operasi pemadaman kerana keadaan air laut yang surut.
“Keluasan kawasan kebakaran dianggarkan kira-kira tiga ekar,” jelas jabatan itu dan memberitahu, operasi dapat dikawal pada jam 3.57 petang sebelum berjaya ditamatkan kira-kira 20 minit kemudian.
Tiada ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan siasatan akan dijalankan untuk mengetahui punca serta jumlah kerugian.
Sementara itu di BEAUFORT (Sabah), seorang lelaki dipercayai khayal selepas menghidu gam berjaya diselamatkan selepas memanjat jambatan setinggi lebih enam meter.
Lelaki berusia 20 tahun tersebut disedari sedang menaiki jambatan berkenaan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan Pematuhan dan Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada sekitar jam 10.30 pagi pada Selesa.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob dalam satu kenyataan memberitahu, selepas usaha memujuknya turun gagal, anggota bertugas terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan menurunkan lelaki terbabit.
Jelasnya, sebaik berjaya dibawa turun, lelaki terbabit terus dibawa ke Balai Polis Beaufort untuk proses dokumentasi.
“Pemeriksaan tubuh badan dan beg sandang lelaki terbabit membawa kepada penemuan plastik dan satu tin gam.
“Lelaki terbabit terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berasingan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi.
Sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tangga.
Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Oleh” EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA