Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

46 Tamu Desa Akan Dibangunkan di Sabah Tahun Ini – Ewon

0
EWON

KOTA KINABALU, 16 Julai 2025 – Sebanyak 46 projek pembangunan dan penaiktarafan Tamu Desa akan dilaksanakan di seluruh Sabah tahun ini oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melibatkan 28 pejabat daerah penuh dan daerah kecil.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata sebanyak RM10 juta telah diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 bagi tujuan tersebut. Tambahan RM10 juta lagi diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa Program MADANI Rakyat di Tawau pada 11 Mei lalu, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM20 juta.

“Pelaksanaan tahun ini memberi penekanan kepada aspek tadbir urus dan penyelarasan tapak secara sistematik, berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya,” kata Ewon dalam sidang media selepas mempengerusikan Sesi Libat Urus Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD) Sabah.

Menurut beliau, pejabat daerah diminta mengesahkan status tanah tapak Tamu Desa bagi mengelakkan pertikaian pada masa hadapan. Setakat ini, 15 pejabat daerah telah memberi pengesahan bertulis dan telah menerima surat kuasa pelaksanaan projek daripada KUSKOP.

“Bagi daerah-daerah lain, kita masih menunggu pengesahan rasmi sebelum projek dapat dimulakan,” tambah beliau.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan kepada 15 pegawai daerah sebagai pengerusi MPUKPPD, serta surat kuasa pelaksanaan projek Tamu Desa bagi daerah yang telah disahkan.

Ewon menegaskan, pembangunan Tamu Desa bukan sekadar menyediakan infrastruktur lebih selesa dan tersusun untuk usahawan dan peniaga kecil, tetapi juga bertujuan memperkukuh ekonomi luar bandar dan memperluas jaringan pasaran produk tempatan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beliau akan ke Sarawak dalam masa terdekat bagi membincangkan pelaksanaan projek Tamu Desa di negeri itu.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.