Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Mohina: Belanjawan Madani 2026 Angkat Martabat Wanita

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
TONGOD (Sabah, Malaysia), 11 Oktober 2025 — Wanita UPKO Malaysia menyifatkan Belanjawan Madani 2026 sebagai manifestasi jelas keberanian politik dan keprihatinan sosial kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim — khususnya terhadap wanita dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Pergerakan Wanita UPKO Malaysia, Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom, berkata belanjawan kali ini menzahirkan iltizam kerajaan Madani untuk memperkukuh keadilan sosial melalui pendekatan menyeluruh dan inklusif, sejajar dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai empati, ihsan dan kesejahteraan sejagat.

“Peruntukan untuk membantu 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman dalam kes perceraian dan hak penjagaan anak membuktikan bahawa kerajaan Madani benar-benar mendengar suara wanita yang terpinggir. Ini bukan sahaja langkah kebajikan, tetapi satu pengiktirafan terhadap hak dan maruah wanita dalam sistem keadilan negara,” ujar Mohina.

Beliau menegaskan, inisiatif tersebut menandakan Malaysia sebagai sebuah negara progresif yang menjunjung kesaksamaan gender dan menghormati peranan wanita dalam pembentukan masyarakat moden yang adil serta berperikemanusiaan.

Sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mohina turut menyambut baik penambahan pembiayaan AIM sebanyak RM230 juta, yang disifatkannya sebagai suntikan strategik untuk memperkukuh ekonomi wanita luar bandar.

“Penambahan dana AIM ini memberi sinar baharu kepada ribuan usahawan wanita mikro untuk terus berdaya saing. Di Sabah sahaja, langkah ini dijangka memanfaatkan lebih 52,000 sahabat AIM — kebanyakannya wanita yang menjalankan aktiviti keusahawanan kecil bagi menyara keluarga. Inilah bentuk pemerkasaan ekonomi sebenar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Mohina turut memuji langkah kerajaan memperkenalkan elaun bulanan RM150 kepada 150,000 pelajar OKU, yang menurutnya merupakan tindakan berani untuk memastikan akses pendidikan inklusif serta mengurangkan beban keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

“Kerajaan Madani menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan tiada siapa yang tertinggal. Ia bukan sekadar dasar kebajikan, tetapi simbol tanggungjawab sosial negara,” tegasnya.

Secara keseluruhan, Mohina melihat Belanjawan Madani 2026 sebagai belanjawan yang bukan sekadar membina kekuatan ekonomi, tetapi juga memperhalusi nurani sosial negara — menjadikan Malaysia lebih adil, inklusif dan berpaksikan manusia.

“Inilah semangat sebenar Malaysia Madani — apabila pembangunan diukur bukan hanya dari segi angka, tetapi dari sejauh mana setiap rakyat, terutama wanita dan golongan rentan, dapat merasai keadilan dan peluang yang sama,” katanya mengakhiri kenyataan.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.