Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Junik Bajit: Ewon dan UPKO Buktikan Keberanian Politik Sabah Melangkaui Retorik

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
TENOM (Sabah, Malaysia), 21 Okt 2025 – Persatuan Etnik Murut Timugon Sabah menegaskan bahawa UPKO adalah satu-satunya parti politik di Sabah yang memiliki keberanian politik sebenar dengan membawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke mahkamah, berbanding parti-parti lokal lain yang hanya menjadikan isu tersebut sebagai retorik pilihan raya tanpa tindakan konkrit.

Pengerusinya, Junik Bajit, berkata rekod UPKO yang menyaman Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa parti tersebut tidak sekadar melaungkan slogan hak Sabah, tetapi berani menguji kuasa perlembagaan demi maruah negeri.

“Ini bukan soal mencari pengaruh politik. Ini soal mempertahankan martabat Sabah dalam Persekutuan. UPKO adalah satu-satunya parti yang menggunakan instrumen undang-undang bagi menuntut hak MA63 secara rasmi. Itu bukti kesungguhan, bukan propaganda,” ujar Junik.

Beliau menjelaskan bahawa penarikan sementara saman itu bukan tanda tunduk, sebaliknya strategi diplomatik selepas Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal MA63 – satu platform tertinggi untuk memuktamadkan tuntutan Sabah secara sah dan berperundangan.

“UPKO jelas menyatakan jika rundingan gagal atau berlaku cubaan melengah-lengahkan pelaksanaan, saman itu akan diaktifkan semula pada bila-bila masa. Itu menunjukkan konsistensi dan keutuhan prinsip perjuangan mereka.”

Junik mempersoalkan mengapa parti-parti lokal lain seperti PBS, STAR, dan WARISAN yang lantang bercakap soal hak Sabah tidak pernah memfailkan saman terhadap Kerajaan Persekutuan.

“Tiada undang-undang yang menghalang mereka daripada mengambil tindakan undang-undang. Jadi mengapa mereka tidak bertindak? Mengapa hanya UPKO yang berani memikul tanggungjawab ini? Rakyat Sabah tidak boleh terus diperdaya dengan slogan kosong,” tegasnya.

Beliau menyifatkan isu MA63 sering diperdagangkan sebagai “modal politik usang” setiap kali menjelang pilihan raya negeri, tetapi tanpa komitmen perundangan yang boleh membawa hasil nyata.

Sehingga kini, melalui platform Kerajaan Perpaduan pimpinan PMX, UPKO telah berjaya menyelesaikan sembilan perkara utama di bawah MA63, termasuk bidang kuasa autonomi dalam pembiayaan, tenaga elektrik, pendidikan, kesihatan serta pungutan hasil negeri – sesuatu yang tidak pernah dicapai oleh parti lokal Sabah ketika mereka berada dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini.

“Rakyat perlu menilai melalui fakta dan pencapaian. Berapa banyak perkara MA63 yang berjaya diselesaikan ketika parti-parti lokal itu berada dalam kerajaan pusat? Atau adakah semuanya kekal sebagai janji manifesto semata-mata?” soal Junik.

Penganalisis politik melihat tindakan UPKO sebagai simbol kemunculan autonomi politik Sabah yang matang – berpaksikan keberanian undang-undang dan bukan lagi tunduk kepada kuasa pusat.

“UPKO tidak sekadar melaungkan slogan hak Sabah. Mereka menggunakan mahkamah sebagai instrumen kedaulatan. Ini menandakan Sabah bukan lagi wilayah pinggiran, tetapi rakan persekutuan yang setara,” tegas Junik.

Beliau turut mengingatkan generasi muda Sabah agar tidak lagi terpedaya dengan pemimpin yang hanya lantang di pentas ceramah tetapi gagal membawa hasil nyata.

“Sejarah tidak mengingati mereka yang bersorak. Sejarah hanya mengingati mereka yang bertindak. Rakyat Sabah harus memilih parti yang berani berdepan mahkamah, bukan yang hanya pandai beretorik demi survival politik.”

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.