Ewon Benedick Titik Kebangkitan Sabah: UPKO Pensiangan Desak Hak 40 Peratus Dilaksanakan Tanpa Kompromi
Tanpa kompromi, Khairy menegaskan UPKO Pensiangan bersama rakyat di peringkat akar umbi akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Ewon, dan akan menggerakkan usaha politik secara kolektif untuk memastikan hak Sabah dihormati sebagaimana dijamin oleh undang-undang
Oleh Rosanna Edeza

PENSIANGAN (Sabah, Malaysia), 25 Okt 2025 — Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Bahagian Pensiangan menyifatkan Presiden parti itu, Datuk Ewon Benedick, sebagai suara paling konsisten dan berani dalam memperjuangkan hak fiskal Sabah, sambil menggesa Kerajaan Persekutuan supaya tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah daripada Persekutuan.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan UPKO Bahagian Pensiangan, Mohd Khairy Abdullah @ Henry, berkata pendirian Ewon mencerminkan kepimpinan bertanggungjawab dan berprinsip, dan wajar dijadikan penanda aras baharu bagi pemimpin Sabah dalam menegakkan hak negeri di peringkat Persekutuan.
“Datuk Ewon bukan sahaja bersuara, beliau memimpin tindakan undang-undang untuk mempertahankan hak Sabah. Pendirian seperti ini mencerminkan keberanian politik dan integriti nasional,” kata Khairy.
Khairy menegaskan bahawa tuntutan 40 peratus bukan bersifat politik partisan, sebaliknya hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Menurutnya, sebarang cubaan menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah adalah tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai penafian terhadap asas pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Hak ini bukan tawaran politik, tetapi komitmen undang-undang yang membentuk negara ini. Ia menyentuh maruah Sabah sebagai rakan pengasas, bukan negeri bawahan,” tambah beliau.
Dalam kenyataan yang dianggap antara paling berani oleh seorang pemimpin politik Sabah, Khairy menggesa semua Ahli Parlimen Sabah dalam Kerajaan Persekutuan agar meletakkan jawatan serta-merta jika Putrajaya meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu adalah bentuk solidariti politik tertinggi terhadap rakyat Sabah dan isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan bahawa hak negeri tidak boleh diperdagangkan demi kepentingan politik pusat.
“Meletak jawatan bukan langkah konfrontasi, tetapi komitmen moral. Rakyat Sabah perlu melihat siapa yang benar-benar mempertahan hak negeri, dan siapa yang tunduk kepada tekanan politik,” katanya.
Penganalisis politik melihat isu tuntutan 40 peratus sebagai ujian terbesar hubungan Persekutuan-Negeri sejak termeterainya MA63. Tekanan dari Sabah dijangka meningkat jika Kerajaan Persekutuan gagal menunjukkan komitmen ikhlas terhadap janji autonomi fiskal.
UPKO Pensiangan menyatakan sokongan penuh terhadap Ewon Benedick sebagai pemimpin Sabah yang dilihat mampu mengangkat isu ini ke pentas antarabangsa, dengan kemungkinan membawa perkara itu ke mekanisme undang-undang antarabangsa sekiranya hak Sabah terus diketepikan.
Tanpa kompromi, Khairy menegaskan UPKO Pensiangan bersama rakyat di peringkat akar umbi akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Ewon, dan akan menggerakkan usaha politik secara kolektif untuk memastikan hak Sabah dihormati sebagaimana dijamin oleh undang-undang.
![]()