Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 10 November 2025 — Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu bersidang bagi membincangkan hala tuju perjuangan berteraskan agenda Sabah First.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Agang, berkata keputusan tersebut dibuat susulan tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak sehaluan dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding semakan kehakiman berkaitan hak 40 peratus hasil Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
“Mesyuarat khas ini menyokong penuh keputusan Presiden UPKO yang berpegang kepada prinsip perjuangan Sabah First, termasuk pendirian beliau dalam isu semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah,” kata Nelson dalam kenyataan rasmi pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa sepanjang empat tahun bersama PH, UPKO kekal konsisten memperjuangkan agenda Sabah First dalam setiap rundingan manifesto pilihan raya dan pelaksanaan dasar kerajaan perpaduan di bawah pimpinan PH. Namun, katanya, wujud jurang tafsiran dan perbezaan pendirian antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional berhubung pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta pelaksanaan autonomi pentadbiran PH Sabah.
Menurut Nelson, isu kepengerusian PH Sabah yang sepatutnya dipengerusikan oleh UPKO tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH berikutan bantahan daripada PKR Sabah, meskipun proses pemilihan dijalankan secara sah oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.
“UPKO bukan sahaja berdepan kecaman terbuka, malah keputusan pemilihan yang sah turut tidak diiktiraf. Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai penyelaras, manakala keputusan strategik berkaitan pilihan raya terus dibuat oleh PKR tanpa memberikan autonomi sebenar kepada PH Sabah,” jelasnya.
Berikutan ketidaksefahaman berterusan itu, UPKO menilai semula kedudukannya dan memutuskan bahawa masa depan perjuangan Sabah lebih wajar diterajui oleh parti-parti tempatan.
“Hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami denyut nadi, jiwa dan aspirasi rakyat negeri ini, berpaksikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan — khususnya hak 40 peratus hasil negeri,” katanya.
Nelson menegaskan bahawa UPKO kekal berpandangan bahawa hak 40 peratus hasil Sabah merupakan hak berasingan dan tidak boleh disamakan dengan tanggungjawab kewangan kerajaan persekutuan di bawah Federal List.
“UPKO bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bagi memastikan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 dan hak 40 peratus dapat direalisasikan dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan tetap akan diteruskan atas dasar saling hormat, namun mesti berpaksikan semangat dan pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963.
“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan mengambil kira aspirasi rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan dimulakan melalui pilihan raya ini, Majlis Tertinggi UPKO sebulat suara memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta,” katanya.
Nelson berkata keputusan rasmi itu akan dimaklumkan kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponennya dalam masa terdekat.
Beliau turut menjelaskan bahawa dua Ahli Parlimen UPKO, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengekalkan kestabilan kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal ini.
Ewon pada Sabtu lalu telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menandakan peralihan besar dalam landskap politik Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.
![]()