Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah Perluas Dana MINDET Kepada Koperasi, Perkukuh Ekonomi Komuniti

0
Ewon Benedick menyampaikan ucaptama sempena Majlis Pelancaran Jualan Madani dan kunjungan ke Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad di Lahad Datu, yang menekankan usaha memperkukuh pembangunan koperasi dan ekonomi komuniti di Sabah.

Oleh: Mohd Khairy Abdullah

LAHAD DATU (Sabah, Malaysia), 16 Mei 2026 — Kerajaan Sabah memperluaskan Dana Khas Usahawan Sabah kepada sektor koperasi bermula tahun ini dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti serta memperluas akses pembiayaan kepada institusi ekonomi rakyat di negeri itu.

Ewon Benedick kelihatan terpegun ketika meninjau pelbagai produk tempatan dan hasil keluaran koperasi yang dipamerkan pada program berkenaan, mencerminkan perkembangan positif serta kreativiti perusahaan berasaskan komuniti di Sabah

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick berkata, dana khas berjumlah RM1 juta yang sebelum ini hanya disalurkan kepada usahawan kini turut dibuka kepada koperasi bagi membantu memperkukuh modal dan aktiviti ekonomi komuniti.

“Selama ini dana ini disalurkan kepada usahawan dan tidak pernah diberikan kepada koperasi, tetapi dekatnya koperasi itu kepada saya maka bermula tahun ini koperasi juga layak menerima dana itu untuk bantuan modal,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Jualan Madani dan kunjungan ke Koperasi Keluarga Haji Sari Lahad Datu Berhad di sini.

Ewon Benedick melancarkan Program Jualan Madani di Lahad Datu sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekonomi komuniti serta membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan

Langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan negeri untuk memperluas peranan koperasi sebagai antara pemacu utama ekonomi akar umbi, khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Ewon berkata, perkembangan sektor koperasi di negeri itu ketika ini menunjukkan pertumbuhan positif apabila jumlah koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meningkat daripada sekitar 1,600 pada penghujung 2022 kepada lebih 2,000 koperasi ketika ini.

Menurut beliau, prestasi kewangan sektor berkenaan turut mencatat peningkatan ketara apabila perolehan koperasi di Sabah melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada lebih RM900 juta pada 2025, hampir mencecah RM1 bilion.

“Ini menunjukkan hasil usaha bersama kerajaan, SKM, Institut Koperasi Malaysia (IKMA) serta pemimpin koperasi dalam memperkukuh sektor ini,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak koperasi dari Sabah mampu menembusi kelompok koperasi terbaik negara selepas enam koperasi dari negeri itu tersenarai dalam 100 koperasi terbaik Malaysia tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ewon berkata ketika menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kementerian itu telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi menyediakan 35 biasiswa kepada pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian diploma dan ijazah sarjana muda di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Katanya, setakat ini seramai 17 pelajar Sabah sedang mengikuti pengajian di universiti berkenaan, manakala baki kuota masih terbuka untuk permohonan baharu.

Sempena lawatan itu, beliau turut melancarkan Program Jualan Madani Koperasi (JMK) anjuran SKM selain menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi menjayakan program tersebut.

Sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sabah, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan SKM dan IKMA bagi memperluaskan bantuan serta program pembangunan koperasi di seluruh negeri.

Dalam lawatan sama, Ewon turut merasmikan Premis Tamu Desa Tawaiyari Ulu Segama yang dibina melalui peruntukan KUSKOP tahun lalu.

Menurut beliau, tamu mingguan yang diadakan setiap Sabtu itu memberi manfaat kepada penduduk dari 10 kampung sekitar kawasan berkenaan selain menjadi platform merangsang ekonomi luar bandar.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Jawatankuasa Tamu Desa bagi menambah baik kemudahan awam, selain RM5,000 kepada Gereja Roh Kudus Kampung Pandising untuk pembelian kelengkapan serta pengagihan bakul makanan kepada warga emas setempat.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.