Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

POIC Lahad Datu Cipta 1,729 Peluang Pekerjaan, Belia Tempatan Dominasi Sektor Hiliran Sawit dan Biojisim

0
EWON

KOTA KINABALU, 30 April — Sektor hiliran sawit dan biojisim di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (POIC) Lahad Datu terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara pemacu utama pembangunan industri negeri, dengan penyerapan tenaga kerja tempatan yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan belia.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri III, Ewon Benedick berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dato’ Dr. Mohammad Yusof bin Apdal, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Soalan berkenaan memfokuskan kepada dua perkara utama, iaitu bilangan belia dari DUN Silam dan Parlimen Lahad Datu yang telah diserap ke dalam industri hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu, serta purata pendapatan, jenis pekerjaan dan kemahiran yang diperoleh oleh mereka.

Menurut Ewon Benedick, sebanyak 75 syarikat kini beroperasi dalam sektor hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu, melibatkan aktiviti termasuk oleokimia, biodiesel serta penghasilan produk berasaskan biojisim.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 1,729 peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil operasi industri berkenaan, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya diisi oleh rakyat tempatan, termasuk belia dari kawasan sekitar Lahad Datu dan DUN Silam.

“Ini menunjukkan tahap penyertaan tenaga kerja tempatan dalam rantaian industri yang semakin matang dan berstruktur, khususnya dalam sektor hiliran berasaskan sawit dan biojisim,” katanya.

Dari segi struktur pekerjaan, beliau menjelaskan bahawa peluang kerjaya merangkumi pelbagai peringkat kemahiran, antaranya operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, pegawai teknikal dan kejuruteraan, serta sektor sokongan seperti logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran.

Menurut beliau, kepelbagaian peranan ini turut mencerminkan keperluan industri moden yang semakin berteknologi tinggi dan berasaskan kecekapan operasi.

Bagi aspek pendapatan, beliau memaklumkan bahawa kadar gaji yang ditawarkan adalah kompetitif dan bergantung kepada kemahiran, kelayakan serta pengalaman pekerja, dengan anggaran:

  • RM1,500 hingga RM2,600 sebulan bagi pekerja am dan operator,
  • RM2,500 hingga RM4,000 sebulan bagi juruteknik dan penyelia, serta
  • RM4,000 dan ke atas bagi pegawai teknikal dan profesional.

Menjawab soalan tambahan berkaitan pembangunan kemahiran belia dan penglibatan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan industri, Ewon Benedick berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi latihan dan agensi kemahiran.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan program upskilling dan reskilling, bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing seiring perkembangan teknologi industri.

Tambah beliau, walaupun belum terdapat cadangan khusus untuk penubuhan pusat latihan satelit di Lahad Datu, perkara itu tidak ditolak dan boleh dipertimbangkan melalui kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pihak industri.

“Ekosistem industri di POIC Lahad Datu telah mewujudkan rantaian nilai yang lebih luas, sekali gus membuka ruang kepada penyertaan usahawan tempatan dan belia dalam pelbagai segmen sokongan industri termasuk logistik, penyelenggaraan, perkhidmatan teknikal dan pembekalan,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.