Oleh Mohd Khairy Abdullah
Wartawan | Kudat, Sabah

KUDAT, 18 Oktober — Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti mengutamakan kepentingan Sabah dan memperkukuh perpaduan dalaman dengan mengetepikan ego politik serta kepentingan sempit parti dan individu bagi memastikan kestabilan politik negeri dan memperkukuh kedudukan tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kekuatan politik negeri bergantung pada keupayaan parti-parti komponen GRS mengekalkan kesatuan, mengelakkan pertelingkahan dalaman dan meletakkan kepentingan bersama mengatasi persaingan sesama sendiri.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah. Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, Kudat, pada 18 Oktober.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata gabungan itu ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan Sabah, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran negeri kekal stabil.
Beliau berkata kejayaan GRS menjadi blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November tahun lalu bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya pencapaian bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya. Dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu mengatasi kepentingan gabungan itu sendiri.
Prinsip berkenaan, katanya, penting bagi memastikan perjuangan GRS terus berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri, bukannya kepentingan politik kelompok tertentu.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada anggota akar umbi yang mengorbankan masa, tenaga dan wang sendiri sepanjang kempen, termasuk menggunakan kenderaan persendirian serta meninggalkan keluarga demi perjuangan parti.
Beliau berkata golongan yang jarang mendapat perhatian media dan tidak dikenali ramai itu sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS, justeru sumbangan mereka tidak boleh dilupakan apabila kemenangan dicapai.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini. Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran agar GRS memperkukuh perpaduan, meningkatkan kematangan dalam membuat keputusan dan mengetepikan ego politik.
Menurutnya, kepelbagaian masyarakat Sabah serta perbezaan pilihan pengundi perlu difahami dan dihormati, sementara organisasi gabungan dan kerjasama antara parti komponen mesti terus diperkukuh bagi mengekalkan keyakinan rakyat.
Hajiji berkata rakyat tidak bergantung pada retorik politik semata-mata, sebaliknya mahukan kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan, ekonomi yang kukuh dan kerajaan stabil yang berupaya menyelesaikan masalah.
“Rakyat mahu sebuah Kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah. Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa status sebagai parti tempatan sahaja tidak memadai untuk mendapatkan kepercayaan rakyat. Keyakinan itu perlu dibina melalui hasil pentadbiran dan pembangunan yang benar-benar dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Menjelang pilihan raya akan datang, Hajiji berkata perbincangan mengenai calon dan pembahagian kerusi pasti menguji kesetiaan serta semangat setiakawan antara parti komponen, khususnya apabila ada pihak perlu bertolak ansur atau menerima keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Beliau mengingatkan pemimpin supaya membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego, selain tidak menjadikan kegagalan memperoleh kerusi sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan sendiri.
Bakal calon GRS turut diingatkan supaya tidak bersikap sombong selepas menang kerana kejayaan seseorang calon bergantung pada sokongan jentera pelbagai parti komponen, termasuk parti yang tidak diberikan peluang bertanding.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri! Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti. Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu!” katanya.
Hajiji berkata hubungan dalam GRS perlu dibina berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati. Pada masa sama, generasi muda perlu diberikan ruang untuk memikul tanggungjawab dan menyumbang idea baharu, sementara pengalaman pemimpin terdahulu terus dihargai bagi memastikan kesinambungan perjuangan.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan bukan milik kekal mana-mana individu. Setiap pemimpin hanya memegang amanah untuk tempoh tertentu dan tidak seharusnya terlalu mempertahankan kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa empat prinsip perjuangan GRS — Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper — mesti diterjemahkan melalui komitmen, gerak kerja dan usaha menjaga kebajikan rakyat, bukannya sekadar dijadikan slogan politik.
![]()