Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

ADUN UMNO keluar parti sertai Gagasan Rakyat

0

KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO mengumumkan keluar parti bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob selaku jurucakap kepada kumpulan itu mengisytiharkan lima ADUN UMNO Sabah keluar parti dengan serta-merta bagi menyertai Gagasan Rakyat yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Selain beliau, ADUN UMNO yang lain adalah Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild@Hamid Awang (Balung).

Beliau berkata, kesemua ADUN UMNO itu bersedia dengan apa juga keputusan pimpinan parti dan mereka telah pun menerima surat tunjuk sebab daripada pimpinan UMNO susulan keputusan menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

Sementara itu, tiga bekas ADUN Warisan, Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor) turut bersama-sama kumpulan itu menyertai Gagasan Rakyat.

Yusof berkata, susulan keputusan itu, kesemua mereka sebulat suara menyokong Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala di peringkat negeri menyokong Hajiji selaku Ketua Menteri dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Keputusan itu diambil setelah menyedari bahawa pemimpin-pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah parti tempatan Sabah untuk terus memperjuang hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami memahami tentang keperluan sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil, bersatu padu untuk mencapai pembangunan dan kemajuan negeri Sabah.

“Perpecahan dan sengketa berpanjangan telah membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Pada 6 Februari lalu, tiga bekas ADUN Warisan mengumumkan keluar parti bagi menjadi ADUN Bebas dan menyokong kerajaan GRS dibawah pimpinan Hajiji.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendukung kerajaan perpaduan Sabah pimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri.

Zambry berkata, pendirian itu sejajar dengan ketetapan setiap parti di peringkat Persekutuan yang telah membentuk kerajaan perpaduan

 

 

 240 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.