BANGKOK: Ahli politik di Thailand perlu melakukan pembaharuan dalam sistem kehakiman bagi mengelakkan campur tangan yang menyebabkan negara mengalami masalah yang tidak berkesudahan atau berulang,” menurut seorang tokoh pembangkang yang baru-baru ini diharamkan, selepas dua keputusan penting yang membubarkan partinya dan memecat seorang Perdana Menteri.
Pita Limjaroenrat, yang kini tidak lagi berfungsi dalam Parti Move Forward telah disekat daripada membentuk kerajaan tahun lalu berkata, larangan politik selama 10 tahun tidak akan melemahkan tekadnya untuk memimpin Thailand dan memulakan reformasi besar, termasuk menghalang institusi bebas daripada dipolitikkan.
Thailand kini terperangkap dalam kitaran bergolak selama dua dekad yang membabitkan rampasan kuasa dan keputusan mahkamah sehingga menggulingkan pelbagai kerajaan.
Ia adalah sebahagian daripada pertarungan kuasa antara parti yang dipilih secara demokrasi dan golongan berpengaruh dengan hubungan kuat dalam tentera dan institusi utama.
“Keadaan kini kembali ke titik asal dan tiada kemajuan dicapai untuk rakyat,” kata Pita kepada Reuters yang merujuk kepada kekacauan sehingga menyaksikan Move Forward dibubarkan dan Srettha Thavisin dipecat sebagai perdana menteri dalam tempoh seminggu.
Kedua-dua keputusan itu dilakukan oleh mahkamah yang sama.
“Kami keliru antara pergerakan dan kemajuan. Ia seperti kita berpusing-pusing dalam bulatan dan kita fikir sedang menuju ke suatu tempat, tetapi sebenarnya kita tidak ke mana-mana,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika 134 ahli akademik dan pakar undang-undang Thailand mengkritik mahkamah dalam satu kenyataan yang menyatakan bahawa institusi kehakiman itu melepasi bidang kuasanya dan merosakkan kepercayaan orang awam terhadap sistem perundangan dan demokratik.
Pita akan kembali ke Universiti Harvard sebagai felo demokrasi selepas dia dikenakan larangan kerana rancangan partinya untuk meminda undang-undang yang mengenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi penghinaan terhadap raja.
Mahkamah menyatakan bahawa kempen itu merosakkan sistem monarki berperlembagaan Thailand. Keadaan Pita mencerminkan politik Thailand yang sangat sengit dan penuh cabaran.
Walaupun Pita sangat popular dan berjaya memimpin Move Forward untuk menang dalam pilihan raya dengan sokongan kuat dari rakyat bagi platform progresif dan menentang establishment, beliau terpaksa diketepikan dan tidak dapat meneruskan peranan politiknya.
Pita, 43, secara konsisten dipilih sebagai pilihan Perdana Menteri yang paling disukai di Thailand, walaupun selepas senator yang dilantik oleh tentera menggagalkan usahanya untuk menjadi Perdana Menteri. – REUTERS