
TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup menyantuni sambil menyampaikan Bantuan Bakul Makanan (BBM) kepada seramai 134 pelajar dari Sabah yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Bercakap kepada media dalam satu kenyataan di Tanjung Malim pada Ahad, Arthur berkata, bantuan bakul makanan & ‘hygiene kit’ ini merupakan usahasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dan Mercy Malaysia.
“Bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar dari Negeri Sabah yang terpaksa tinggal di kampus dan tidak dapat pulang sempena cuti semester kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negara fasa 1 dan 2”, Katanya.
Tambahnya lagi, bantuan yang diberikan ini juga akan dapat mengurangkan pergerakan pelajar untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian. Ini sekaligus akan dapat mengurangkan risiko jangkitan.
Mengulas berkenaan keutamaan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi pembekalan vaksin CanSino oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, YB Datuk Arthur Joseph Kurup menyambut baik keputusan itu.
“Kita melihat antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah mengenai kos logistik serta perhubungan yang menyebabkan kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah antara yang terendah”.
“Justeru, pembekalan vaksin CanSino yang memerlukan hanya satu dos suntikan bersesuaian dengan keadaan demografi negeri Sabah dan dijangka akan membantu mengurangkan kos serta cabaran logistik yang dihadapi terutamanya di kawasan pendalaman dan kampung-kampung terpencil”.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata dengan penggunaan vaksin ini beban tugas yang digalas oleh petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin sekitar negeri Sabah khususnya bagi kawasan pedalaman akan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus iaitu antaranya kekerapan perjalanan yang diperlukan ke sesebuah kawasan bagi memberikan suntikan vaksin.
Oleh itu, penggunaan vaksin CanSino ini akan dapat meningkatkan kadar imunisasi di Negeri Sabah disamping mempercepatkan imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian COVID-19.
![]()