Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

BAJET 2020: Ewon minta peruntukan khas untuk KPLB

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) – Datuk Ewon Benedick pada Khamis (13 Jun 2019) berkata, beliau telah mengemukakan beberapa input kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya kementeriannya  diberi peruntukan khas dalam Bajet Negeri 2020 bagi melaksanakan pelbagai projek prasarana baharu yang dirancang untuk manfaat masyarakat luar bandar.

EWON BENEDICK

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu memberitahu, input-imput yang perlu diberi perhatian antaranya berkaitan Program Perumahan Rumah Rakyat Termiskin (PPRT), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Alternatif.

Katanya, cadangan itu dikemukakan berdasarkan keperluan mendesak bagi menyelesaikan masalah rakyat khususnya mengenai rumahProjek Perumahan Rakyat Termiskin  (PPRT), bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar serta memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negeri Sabah.

“Saya telah melawat banyak kampung di luar bandar dan selepas meneliti perincian program-program sedia ada yang ada Bajet di KPLB Sabah, saya melihat ada keperluan untuk kita mengadakan bajet sendiri di bawah kerajaan negeri untuk beberapa perkara termasuk PPRT, bekalan air dan elektrik. 

“Oleh itu saya telah mengemukkakan input-input ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah supaya dimasukkan dalam Belanjawan Negeri Sabah 2020,” katanya kepada pengamal media di Majlis Seikhlas Budi Sekalung Penghargan dan Sambutan Hari Raya Pejabat Daerah Kota Belud, di sebuah hotel terkemuka di sini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Negeri bagi kawasan Kadamaian memberitahu, beliau telah mengemukakan perkara itu kepada UPEN Sabah kerana masih banyak kampung yang terpinggir di kawasan pedalaman dan jauh daripada akses grid elektrik dan Jabatan Air yang memerlukan pembelaan segera.. 

“Berkenaan dengan program rumah PPRT, saya akan berbincang dengan Ketua Menteri untuk memperincikan perkara ini. Apapun, saya amat yakin beliau akan mempertimbangkan semua ini dan seterusnya mengumumkannya pada pembentangan Belanjawan Negeri 2020 hujung tahun ini,” katanya.

Beliau optimis, cadangan itu adalah antara pembaharuan kementeriannya selain program atau projek sedia ada seperti Program Keusahawanan Desa, Program Ameniti Sosial dan Program Peruntukan Khas Adun seterusnya melengkapkan usaha yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan. 

“Ketika ini peruntukan untuk bina baru dan baikpulih rumah PPRT adalah daripada kerajaan persekutuan. Pada tahun ini KPLB Persekutuan hanya memperuntukan sebanyak 445 unit rumah bina baru PPRT di Sabah dan 1,740 unit baik pulih PPRT.

“Ini tidak mencukupi sebab masih banyak aduan yang ditularkan di media sosial atau akhbar mengenai keperluan bina baru rumah termasuk di Kampung Nahaba dalam kawasan DUN Kadamaian. Tetapi memandangkan agihan bagi Kota Belud hanya 16 buah sahaja pada tahun ini dan sudah ada penamanya, maka amat perlu ada peruntukan khas di bawah kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Ewon berkata, pada masa ini kerajaan negeri melalui KPLB Sabah memang membiayai pembinaan rumah PPRT tetapi hanya untuk peserta Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di perkampungan Mesej seperti Mesej Timpangoh, Mesej Tukar Pitas dan Mesej Mansalu Ranau.

Ewon berkata  bahawa program PPRT itu perlu dikembangkan ke kampung-kampung yang bukan dalam program Mesej atau bukan dalam perkampungan Mesej.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri kawasan Tempasuk Datuk Haji Musbah Jamli, Usukan Datuk Japlin Akim, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) Fredian Gan, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, Mantan Pegawai Daerah Kota Belud Haji Abdul Gari Itam dan Mantan Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Junsim Rumunzing.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.