PAKATAN Harapan (PH) masih tidak membuat keputusan, jawab Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika diaju soalan adakah beliau telah membuat sebarang keputusan mengenai cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang menamakan beliau sebagai Perdana Menteri.
Shafie berkata; “Apabila saya dicalonkan sebagai perdana menteri, ia bertujuan sebagai jalan penyelesaian kemelut politik negara ketika ini. Namun, berdasarkan kenyataan PH baru-baru ini, ia menunjukkan mereka tidak tegas.
“Kita boleh melihat wujud keadaan di mana PH tidak dapat membuat keputusan,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi. berkata keputusan memilih Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu dicapai sebulat suara dalam satu pertemuan dengan sekutunya (Parti Amanah Negara, Warisan dan DAP) di Rumah Tetamu Sabah di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata dalam pertemuan itu, mereka juga bersetuju untuk mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1, dan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II.
Bagaimanapun, baru-baru ini, Majlis Presiden PH memutuskan untuk terus komited kepada pendirian asal bagi mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri sekiranya PH kembali membentuk kerajaan.
Kenyataan Shafie yang merupakan Ketua Menteri Sabah menunjukkan cadangan Mahathir bahawa beliau adalah calon PM hanya bersifat politik.
“Kita tunggu perkembangan selepas sidang rakyat .. antara agendanya mengenai ini (calon PM),” katanya kepada wartawan dalam satu sidang media di Dewan Masyarakat Keningau pada Khamis (9 Jul 2020). — BD