Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Cacar monyet: Singapura sahkan kes tempatan kedua

0

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan kes tempatan kedua jangkitan cacar monyet melibatkan seorang pesakit warga Britain.

Lapor Mediacorp, individu berusia 48 tahun itu menetap di Singapura dan disahkan positif cacar monyet semalam.

“Beliau kini sedang dirawat di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dan keadaannya adalah stabil,” kata pihak kementerian.

Lelaki itu mengalami ruam pada bahagian dubur pada 6 Julai dan kemudian demam pada 11 Julai.

Pesakit mendapatkan rawatan perubatan pada 13 Julai dan kemudian dimasukkan ke NCID pada hari sama.

Menurut MOH, pengesanan kontak rapat sedang dijalankan dan kes terbaharu ini tidak berhubung kait dengan sebarang kes jangkitan cacar monyet yang dikesan sebelum ini.

Antara lima kes cacar monyet yang dikesan di Singapura sejak Jun, tiga merupakan kes import, manakala dua merupakan kes tempatan.

Sebelum ini, kes pertama cacar monyet di Singapura adalah kes import melibatkan pesakit warga Britain berusia 42 tahun yang bertugas sebagai pramugara yang diuji positif 20 Jun lalu.

Singapura melaporkan kes jangkitan tempatan pertama pada 6 Julai yang dikesan terhadap seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura.

Satu lagi kes import disahkan sehari selepas itu melibatkan seorang warga India berusia 36 tahun menetap di Singapura yang pulang dari Amerika Syarikat.

 

 375 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.