PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 25 Ogos – Dedikasi warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Penampang dalam mendidik dan menjaga anak-anak istimewa harus dihargai serta disegani, kata Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Ewon menegaskan komitmen luar biasa yang ditunjukkan guru dan ibu bapa di pusat itu mencerminkan ketabahan serta semangat prihatin yang wajar dicontohi.
“Saya amat menghargai ibu bapa dan guru-guru di sini yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam mendidik anak-anak istimewa. Kehadiran saya hari ini menzahirkan sokongan berterusan terhadap usaha PPDK Penampang,” katanya ketika menghadiri sambutan Bulan Kebangsaan bersama pelatih, ibu bapa dan tenaga pengajar pusat berkenaan.
PPDK Penampang kini menempatkan 60 pelatih dengan sokongan lima guru dan seorang penyelia. Pada Jun lalu, Ewon menyalurkan RM20,000 bagi keperluan pusat itu, dan pada lawatan terbaharunya, beliau mengumumkan tambahan RM20,000 untuk meningkatkan kemudahan sedia ada.
Dalam lawatan berasingan, Ewon turut menyampaikan sumbangan bakul makanan bagi Program No Turning Back 9.0 anjuran Kelab Pacuan Empat Roda WRS Sabah yang akan berlangsung di Mesapol, Sipitang dari 28 Ogos hingga 1 September. Program itu menghimpunkan 60 kenderaan ahli kelab dengan pelbagai aktiviti, termasuk penyampaian 100 bakul makanan kepada komuniti setempat.
“Sebagai Penaung Kelab WRS, saya menghargai semua inisiatif yang memupuk kerjasama, kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan ahli serta masyarakat,” tambahnya.
![]()