Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon: Bantuan KUSKOP Bernilai Hampir RM200,000 Cerminan Kemanusiaan dan Solidariti Bersama Mangsa Bencana Sabah

0

Oleh Rosanna Edeza

PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 19 Sept 2025 – Dalam semangat kemanusiaan dan solidariti, tujuh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) tampil menghulurkan bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai hampir RM200,000 bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, sumbangan ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kasih sayang, perhatian dan keprihatinan kerajaan serta agensinya kepada 1,907 keluarga yang sedang berjuang memulihkan kehidupan selepas bencana.

“Setiap bantuan yang disampaikan membawa makna kemanusiaan yang besar. Ia menzahirkan bahawa rakyat Sabah tidak pernah dibiarkan menghadapi derita seorang diri, sebaliknya kita berdiri bersama mereka dalam waktu sukar ini,” katanya ketika menyempurnakan penyerahan bantuan di sini, hari ini.

Bantuan berupa bakul makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian seperti lampin pakai buang mula diagihkan kepada penerima di Penampang, Kadamaian dan Papar sejak semalam, manakala pengagihan seterusnya akan dilakukan secara berfasa sehingga semua keluarga penerima selesai disantuni.

Antara agensi yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini ialah TEKUN Nasional, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), SME Bank dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS).

Secara terperinci, TEKUN Nasional memperuntukkan dana RM50,000 untuk membantu 500 keluarga termasuk usahawan kecil yang terjejas. SKM pula menyumbang 560 bakul makanan bernilai RM56,000 kepada penduduk di Penampang dan Kadamaian.

Bank Rakyat menyalurkan 400 bakul makanan bernilai RM40,000, manakala SME Bank menyerahkan 200 bakul bernilai RM20,000. INSKEN turut menyalurkan dana RM10,000 untuk membantu 127 keluarga di Penampang, sementara IKMa menyampaikan 170 bakul makanan bernilai RM17,000 di Penampang dan Kadamaian.

Selain itu, PERNAS mengumumkan sumbangan 100 bakul makanan bernilai RM10,000 yang akan diagihkan kepada mangsa dalam masa terdekat.

Ewon menegaskan, bantuan ini adalah bukti nyata bahawa semangat kemanusiaan sentiasa menjadi asas tindakan KUSKOP.

“Dalam setiap musibah, nilai kemanusiaan dan solidariti adalah penawar kepada kesedihan. Inisiatif agensi-agensi KUSKOP ini membuktikan bahawa kerajaan dan rakyat sentiasa bersama, berganding bahu menghadapi ujian,” ujarnya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.