Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon Benedick Terima Delegasi SIB Semenanjung, Tekankan Kerjasama Perkukuh Ekonomi Komuniti

0

PUTRAJAYA, 11 Ogos 2025 – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, hari ini menerima kunjungan hormat delegasi Sidang Injil Borneo (SIB) Semenanjung yang diketuai Presidennya, Rev Simon P. Markus, dalam satu pertemuan yang menumpukan kepada agenda memperkukuh kesejahteraan komuniti dan pembangunan ekonomi.

Delegasi SIB Semenanjung turut dianggotai Setiausaha, Pastor David Ukong; Pastor Losius Tanggunan dari SIB GLOW Serdang; Pastor Edwin Saidi dari SIB Victorious; serta Pastor Hool Erod dari SIB Puchong.

Pertemuan tersebut menjadi platform perbincangan strategik mengenai keperluan prasarana gereja-gereja, khususnya 50 gereja SIB di Semenanjung yang sebahagian besarnya dianggotai masyarakat asal Sabah dan Sarawak, serta pelaksanaan program peningkatan ekonomi yang sedang dan akan dijalankan.

“Saya mengalu-alukan pandangan, cadangan dan perkongsian yang dibawa oleh SIB Semenanjung. Isu-isu yang dibentangkan akan saya angkat ke peringkat perbincangan dalam Kerajaan MADANI,” kata Ewon, sambil menegaskan bahawa sokongan terhadap pembangunan ekonomi komuniti gereja selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai negara inklusif dan berdaya tahan.

Dalam sesi berkenaan, Ewon turut membentangkan pelbagai inisiatif keusahawanan dan koperasi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta agensi-agensinya, yang direka untuk membuka peluang perniagaan, memperkukuh koperasi komuniti, dan menyokong pembangunan ekonomi secara holistik.

Pertemuan ini disifatkan sebagai langkah penting dalam membina jambatan kerjasama antara kerajaan dan institusi keagamaan bagi memastikan kesejahteraan ekonomi masyarakat dapat dinikmati secara menyeluruh, merentas sempadan negeri dan latar belakang.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.