Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon cadang ‘Momogun’ diguna ganti ‘Lain-Lain’ dalam borang kerajaan

0

KOTA KINABALU: Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar “Momogun” digunakan bagi menggantikan “Lain-Lain” dalam borang rasmi kerajaan.

ADUN Kadamaian itu turut mencadangkan supaya Kerajaan Sabah menghimpunkan rumpun etnik Orang Asal di Sabah sebagai rumpun Momogun, seterusnya diguna untuk menggantikan ruangan Lain-Lain dalam borang-borang rasmi Kerajaan.

“Dalam beberapa borang rasmi kerajaan yang bertujuan mendapatkan maklumat kaum. Selain Melayu, Cina dan India, maklumat kaum yang selebihnya dinyatakan sebagai Lain-Lain.

“Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Sabah sama ada bersedia memulakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan bagi mencari formula terbaik menggantikan kolumn ‘Lain-Lain’ tersebut kepada istilah rumpun etnik yang lebih realistik dan progresif,” katanya.

Presiden Pertubuhan  Kinabalu Progresif Bersatu itu berkata, Kerajaan Malaysia merupakan antara yang menandatangani United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP).

“Manakala Sabah pula mempunyai demografi Orang Asal yang besar. Pada saya, meletakkan istilah “Lain-Lain” dalam borang-borang rasmi Kerajaan tidak menggambarkan penghormatan kepada rumpun Orang Asal.

“Saya percaya proses ini perlu bermula daripada peringkat Kerajaan Negeri.

“Justeru saya mencadangkan agar perbincangan rasmi dapat dimulakan untuk menimbang syor-syor daripada pelbagai pihak termasuk cadangan saya untuk merumpunkan Orang Asal ini sebagai Momogun,” katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.