Ewon lakar sejarah tersendiri, salur peruntukan RM166,000 kepada JKKK dan JKDB di Parlimen Penampang
Setiap JKKK dan JKDB di seluruh parlimen Penampang menerima RM2000
PENAMPANG: Datuk Ewon Benedick melakar sejaah tersendiri sebagai Ahli Parlimen di Sabah yang menyediakan peruntukan khas kepada JKKK dan JKDB sebanyak RM166,000.
Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi Malaysia itu berkata, pemberian peruntukan itu bagi menunaikan komitmen dan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat Parlimen di kawasan Penampang.
Setiap JKKK dan JKDB di seluruh parlimen Penampang menerima RM2000.
“Geran pentadbiran ini adalah untuk membantu mereka membiayai kos-kos mesyuarat seperti membayar bil-bil elektrik, air dan program gotong-royong yang mereka anjurkan.
“Saya berhasrat menjadikan ini sebagai program tahunan di mana kita akan memberikan geran pentadbiran kepada badan JKKK setiap tahun dengan syarat ianya harus direkodkan dalam akaun JKKK dan JKDB masing-masing,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Mengenai Dana Komuniti Madani yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, Ewon berkata, inisiatif baharu itu adalah untuk program komuniti MADANI dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion di mana peruntukan di antara RM50,000 hingga RM100,000 akan disalurkan bagi menjayakan projek yang dicadangkan oleh badan komuniti.
“Setiap badan komuniti seperti JKKK dan JKDB boleh memohon projek infrastruktur atau projek ekonomi yang kosnya RM50,000 hingga RM100,000 di kampung masing-masing. Ini merupakan kali pertama Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan menyediakan inisiatif seperti ini bagi memperkasakan komuniti.
“Pendekatan ini baik akan melengkapkan inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan oleh wakil rakyat, pejabat daerah dan pelbagai kementerian lain di kampung mereka,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perpaduan mahu badan komuniti itu diperkasakan dengan memberi tumpuan kepada permohonan terus dan melaksanakan sendiri projek yang dicadangkan mengikut kaedah yang diputuskan oleh badan komuniti itu sendiri,” katanya.
Ewon berkata, bagi memberi kefahaman kepada badan-badan JKKK dan JKDB khususnya kawasan Kadamaian dan Penampang, beliau akan menjemput pihak ICU Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Ekonomi yang bertanggungjaab untuk melaksanakan Program Ekonomi Madani bagi memberikan penjelasan lebih lanjut.
Mengenai peranan pengerusi JKKK, Ewon berkata, JKKK mempunyai tanggungjawab besar dalam pentadbiran sesebuah kampung.
“Mereka adalah ‘kabinet’ di peringkat kampung, mereka perlu menyalurkan maklumat daripada kerajaan kepada rakyat di kampung masing-masing dan menjadi pemudah cara.
“Mereka juga pengantara di antara penduduk kampung masing-masing dengan wakil rakyat, jabatan-jabatan kerajaan seperti majlis daerah, pejabat daerah atau agensi-agensi kerajaan yang lain.
“Tanggungjawab mereka besar walaupun peringkat kampung termasuk mamantau pelaksanaan projek di kawasan masing-masing bagi memastikan peruntukan yang disalurkan wakil rakyat, kementerian, jabatan dan kerajaan atau projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dilaksanakan dengan baik.
“Mereka juga bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek mengelak ketirisan atau pertindihan atau salah faham komuniti kampung mereka,” katanya.