Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon pengerusikan mesyuarat parti penyokong kerajaan Penampang

Bincang perlantikan ketua adat

0

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua parti penyokong kerajaan negeri bagi membincangkan pelantikan ketua-ketua adat di kawasan Penampang.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, dalam mesyuarat tersebut beliau mendengar pandangan dan cadangan daripada semua ketua parti bagi memastikan pelantikan ketua adat di kawasan itu dilaksanakan mengikut kaedah perbincangan agar setiap parti dapat memainkan peranan kolektif.

“Saya bersetuju supaya semua parti yang menyokong kerajaan harus mempunyai peranan dalam perlantikan politik akar umbi termasuk di Mahkamah Anak Negeri.

“Dalam perlantikan politik, tidak ada yang sempurna tapi kita harus melaksanakan pelantikan ini secara kolektif dan sepatutnya menterjemahkan semangat kerjasama dan perkongsian kuasa antara GRS dan PH,” katanya selepas mesyuarat itu di Hotel D’Arc, di sini, semalam.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, mesyuarat juga bersetuju dengan keperluan penambahan jawatan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan Kapitan Cina berikutan pertambahan populasi, penambahan badan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penaiktarafan Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran.

“Saya akan menyusuli keputusan mesyuarat ini dengan pimpinan Kerajaan Negeri, kementerian dan jabatan yang berkaitan sebelum saya memanggil mesyuarat yang seterusnya berhubung pengisian kesemua jawatan ketua adat Penampang,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Senator Datuk John Ambrose, Ketua UPKO Penampang Datuk Donald Mojuntin serta ketua-ketua bahagian parti PGRS, STAR, PBS, PKR, SAPP dan PBRS.

“Tanggungjawab mereka besar walaupun peringkat kampung termasuk mamantau pelaksanaan projek di kawasan masing-masing bagi memastikan peruntukan yang disalurkan wakil rakyat, kementerian, jabatan dan kerajaan atau projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapat dilaksanakan dengan baik.

“Mereka juga bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek mengelak ketirisan atau pertindihan atau salah faham komuniti kampung mereka,” katanya.

 

 291 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.