Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon Presiden Baharu Upko

0

Oleh DG HENRY dan ROSANNA EDEZA

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Datuk Ewon Benedick kini secara rasmi presiden parti Upko mulai ahad lepas, berikutan penyandang terdahulu Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangan tidak mempertahankan kerusi itu bagi penggal seterusnya.

Madius kini dilantik sebagai Presiden Kehormat Upko berkuatkuasa pada hari yang sama.

Presiden parti Upko Datuk Ewon Benedict (dua kanan) ketika menghadiri mesyuarat pergerakan pemuda parti itu di Kg Madsiang Penampang pada sabtu

Majlis penyerahan dan penerimaan tugas itu dilaksanakan secara dalam talian pada persidangan perwakilan tritahunan Upko di Dewan Pusat Kebudayaan Penampang.

Ewon yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga Ahli Parlimen Penampang, sebelum ini memegang jawatan naib presiden Upko turut menyampaikan ucapan penggulungan secara dalam talian kerana menghadiri majlis permukiman anggota Jemaah Menteri kerajaan perpaduan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di Seri Perdana Putrajaya,pada hari yang sama.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada presiden kehormat kita, Madius atas konsistensi kepimpinan dan perjuangan beliau yang memastikan enam perkara utama berkaitan hak dan kepentingan Sabah dimasukkan dalam manifesto atau tawaran Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kini saya menggalas tanggungjawab untuk mengangkat manifesto ini ke meja pembuatan keputusan tertinggi negara kita iaitu mesyuarat Jemaah Menteri persekutuan.

“Saya ingin mengulangi komitmen bahawa saya sedang memperjuangkan penyelesaian kepada perkara dinyatakan dalam manifesto tersebut, termasuk berkaitan perkara dibangkitkan oleh perwakilan sepanjang persidangan,” katanya.

Ewon berkata, walaupun berada di ibu negara tetapi memerhati perjalanan persidangan dan maklum dengan usul dibentangkan serta perkara yang dibangkitkan.

“Semangat dan jiwa perjuangan saya sentiasa bersama dengan semua rakan pimpinan dan ahli parti yang bersidang di Pusat Kebudayaan Sabah,” jelasnya.

Terdahulu Ewon berkata, pemukiman Jemaah Menteri antara lain membincangkan penyelarasan manifesto kerajaan perpaduan dan pelaksanaan petunjuk prestasi utama (KPI) anggota Jemaah Menteri.

Beliau berkata, dua perkara dibincangkan itu sangat berkait dengan perjuangan dan perkhidmatan Upko, termasuk perkara yang dibangkitkan sepanjang persidangan parti itu.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.