Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon puji inisiatif komuniti semarakkan Hari Kebangsaan dengan kesihatan dan sukan

0

KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 30 Ogos 2025 – Sambutan Hari Kebangsaan di Kadamaian tahun ini tampil berbeza apabila komuniti kampung memilih tema kesihatan dan sukan sebagai nadi perayaan – satu pendekatan yang dipuji oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyifatkan penganjuran Karnival Kesihatan dan Pertandingan Dart Sempena Hari Kebangsaan sebagai cerminan kesedaran baharu masyarakat, bahawa patriotisme tidak hanya terikat pada laungan merdeka, tetapi diterjemah melalui usaha membina kesejahteraan sosial serta memperkukuh perpaduan di peringkat akar umbi.

“Hari Kebangsaan harus diraikan dengan cara yang memberi makna – bukan sekadar simbolik. Program seperti ini bukan sahaja merapatkan jurang sesama penduduk, malah menyuntik kesedaran tentang pentingnya kesihatan fizikal, mental, tingkah laku dan rohani dalam membina komuniti yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan karnival anjuran Persekutuan Muda Mudi (PMM) SIB Pinasang Tamu Darat, selain menghadiri pertandingan dart di Tunga Unga Eco-Tourism, Kampung Ratau.

Karnival tersebut mengetengahkan pendekatan holistik dengan pelbagai aktiviti, antaranya saringan kesihatan, kempen derma darah, Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), serta pameran produk usahawan tempatan – menjadikannya bukan sahaja acara riadah, tetapi juga platform ekonomi dan solidariti sosial.

Turut mencuri perhatian, Ewon sendiri tampil menderma darah untuk Tabung Darah Hospital Kota Belud, di samping menyampaikan sumbangan pembiayaan saringan kesihatan kepada 200 penduduk yang hadir.

Dalam kunjungannya ke Gereja SIB Pinasang Tamu Darat, beliau turut menyalurkan peruntukan ADUN sebanyak RM19,400 bagi melengkapkan kemudahan pejabat PMM gereja berkenaan – langkah yang menegaskan sokongan beliau terhadap pembangunan fasiliti komuniti.

Selepas program di Tamu Darat, Ewon meneruskan agenda ke Kampung Ratau untuk bersama masyarakat dalam pertandingan dart, sambil menegaskan bahawa sukan di peringkat kampung bukan sekadar hiburan, tetapi wadah ampuh membina jaringan persahabatan dan memperkukuh integrasi sosial.

“Walaupun hanya satu pasukan membawa pulang piala johan, hakikatnya semua peserta pulang dengan piala perpaduan – kerana nilai persahabatan yang terbina jauh lebih besar daripada kemenangan di gelanggang,” ujarnya.

Ewon dalam pada itu menekankan bahawa Hari Kebangsaan harus terus dilihat bukan semata-mata ritual tahunan, tetapi platform memperkasa komuniti dengan gaya hidup sihat, semangat solidariti, serta daya tahan masyarakat Kadamaian – yang beliau sifatkan sebagai nadi kekuatan negara.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.