Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sejarah bukan hanya untuk diingati, ia untuk dihargai

0
Membawa anak-anak dan keluarga menyantuni pesara Kons. Pius Guntala di Kg. Mosusun Sook

By Mohd Khairy Abdullah
Editor-in-Residence
Pensiangan, Sabah

SOOK (Pensiangan), 31 Ogos 2026 —  Sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Sabah, saya membawa anak-anak meluangkan masa sepetang menyantuni seorang Wira Negara — Pius Guntala bin Buli, veteran Polis Diraja Malaysia yang pernah berdiri di barisan hadapan mempertahankan keselamatan Sabah dan negara.

Berasal dari Kg. Sunsuron, Tambunan, beliau menyertai pasukan polis pada 17 Ogos 1963 — ketika Sabah sedang berada di persimpangan penting sejarah.

MA63 dimeterai ketika beliau mula menyarungkan uniform.

Selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Polis, beliau memulakan tugas bersama Pasukan Polis Hutan di Sandakan, sebelum perkhidmatannya membawa beliau ke Kudat, Tambunan, Keningau dan Sook.

Beliau mungkin tidak pernah berpolitik tentang MA63. Beliau hanya melaksanakan tugasnya, tetapi sejarah mempunyai cara tersendiri untuk menghubungkan pengorbanan seseorang dengan perjuangan sebuah generasi.

Lebih dua dekad berkhidmat, Konstabel Pius pernah ditugaskan di sempadan Sabah–Filipina dalam suasana tegang. Beliau mengadai nyawa dalam operasi keselamatan, termasuk penangkapan enam warga Filipina yang melakukan cubaan melakukan ancaman kepada rakyat Sabah, serta penugasan ketika rusuhan Sabah 1985.

Beliau bersara pada 1989 dan kini pada usia 83 tahun, kini menetap di Sook.

Mungkin tidak lagi menjadi perhatian ramai, tidak lagi disebut di pentas besar namun di sinilah kita perlu bertanya:

Apakah nilai sebuah kemerdekaan jika kita lupa kepada insan yang pernah mempertahankannya?

Anak-anak saya khususnya Amenqio dan Aurorra yang sering bersama dalam setiap majlis Upko, masih belum memahami sepenuhnya apa itu MA63.

Namun mereka mendengar saya berbicara tentangnya. Dan apabila Presiden UPKO Datuk

Ewon Benedick sering melaungkan tuntutan MA63, mereka pernah berkata:

“Bapak, adakah nanti kami juga akan mewarisi perjuangan untuk bersuara tentang MA63.”

Bagi saya, inilah pendidikan sejarah yang sebenar, bukan hanya diperolehi dengan membaca buku, tetapi bertemu manusia yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah itu sendiri.

Kepada anak-anakku:

Hargailah veteran kita.

Kerana di sebalik keamanan yang kita nikmati hari ini, ada generasi yang pernah mempertaruhkan masa, tenaga, keberanian dan kehidupan mereka. Kita mungkin mewarisi sebuah negara, tetapi kita juga mewarisi tanggungjawab untuk tidak melupakan mereka yang membinanya dengan pengorbanan.

Menyantuni veteran bukan hanya kunjungan kosong, ia adalah penghormatan kepada sejarah. Ia adalah penghargaan kepada pengorbanan. Dan paling penting, ia adalah janji kepada generasi akan datang bahawa jasa mereka tidak akan dipadam oleh masa.

Selamat Hari Malaysia. Selamat Hari Sabah kepada seluruh anak Sabah.

Terima kasih, Pius Guntala bin Buli.

Uniform boleh ditanggalkan.
Zaman boleh berlalu.
Nama mungkin dilupakan manusia.
Tetapi jasa seorang wira tidak pernah bersara daripada sejarah.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.