KOTA BELUD (Sabah Malaysia), 26 Ogos 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, menyalurkan peruntukan berjumlah RM150,000 untuk membina Mini Astaka di Padang Kampung Nahaba dan membangunkan Gereja SIB Nahaba.
Daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Persekutuan bagi pembinaan astaka baharu, manakala RM50,000 lagi disumbangkan daripada peruntukan ADUN Kadamaian untuk gereja berkenaan.
“Padang Kg Nahaba merupakan antara padang paling aktif digunakan di Kadamaian, termasuk sebagai lokasi tetap Kejohanan Bola Sepak NATESA. Kemudahan astaka baharu ini diharap dapat memberi nilai tambah kepada komuniti sekitar, termasuk premis Tamu Desa yang dibangunkan melalui peruntukan KUSKOP,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja meninjau tapak pembinaan astaka dan kemudahan gereja pada Selasa, di mana beliau turut mengumumkan tambahan RM50,000 bagi melengkapkan kemudahan gereja tersebut.
Selain itu, Ewon meninjau kerja penyelenggaraan dan penaiktarafan pam air bawah tanah sedalam 90 meter oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM), yang bertujuan memastikan bekalan air mencukupi kepada penduduk terutama ketika musim kemarau.
Selesai lawatan di Kg Nahaba, beliau turut meninjau projek pembesaran Gereja SIB Kg Tegudon. Ewon menyerahkan RM10,000 daripada peruntukan ADUN Kadamaian untuk pembinaan konkrit lantai tapak tambahan gereja, serta RM3,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi kerja-kerja pembaikan jambatan gantung kampung itu.
![]()