
PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 25 Ogos 2025 – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menyalurkan peruntukan berjumlah RM400,000 kepada dua sekolah di daerah ini bagi tujuan pembangunan dan naik taraf kemudahan asas.
Di Sekolah Menengah St Michael, Ewon yang juga wakil rakyat kawasan itu mengumumkan kelulusan RM200,000 daripada Kementerian Kewangan Persekutuan untuk pembinaan bumbung di kawasan parkir sekolah. Permohonan itu, katanya, telah dipanjangkan kepada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Peruntukan ini melengkapkan pembinaan parkir konkrit yang sebelum ini dibiayai menggunakan dana Ahli Parlimen yang saya salurkan,” katanya kepada pemberita.
Dalam lawatan ringkas ke sekolah berkenaan, Ewon turut meninjau beberapa bilik darjah di bangunan lama yang memerlukan pembaikan struktur, selain menyampaikan sumbangan kepada delegasi pelajar SM St Michael yang bakal menyertai Program ISCEP di Korea.
Sementara itu, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yue Min, Ewon menyerahkan kelulusan RM200,000 daripada Kementerian Kewangan Persekutuan bagi menaik taraf kawasan parkir yang kerap dinaiki air akibat limpahan parit ketika musim hujan. Beliau juga meninjau keadaan jalan perhubungan dalam kawasan sekolah yang memerlukan penurapan semula.
Dalam kapasiti beliau sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon menegaskan bahawa usaha meningkatkan infrastruktur pendidikan tetap menjadi sebahagian daripada komitmen kerajaan.
“Saya komited untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan pembangunan sekolah di kawasan ini,” katanya.
![]()