KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 24 Ogos 2025 – Kerajaan Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkasa usahawan luar bandar di Sabah menerusi Program Hari Terbuka INSKEN Kampus Sabah (HATI) Siri 4/2025, anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata penganjuran program itu menandakan usaha berterusan kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih inklusif, seimbang dan menyeluruh, termasuk bagi komuniti di pedalaman.
“Penubuhan Kampus INSKEN di Sabah membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan akses kepada ilmu, teknologi dan sokongan perniagaan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya usahawan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Kota Belud.
Beliau menegaskan program itu memberi penekanan kepada penerapan teknologi baharu, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), yang diyakini mampu membantu penjaja dan peniaga kecil mengurus perniagaan dengan lebih moden, cekap dan menguntungkan.
“Inisiatif seperti ini adalah platform strategik untuk meningkatkan daya saing usahawan, agar mereka kekal berdaya tahan dan mampu bersaing dalam era digital,” ujarnya.
Program HATI Siri 4/2025 merupakan kesinambungan daripada siri yang dilaksanakan di Sepanggar minggu lalu, dengan penyertaan lebih 260 usahawan Sabah.
Dalam pada itu, Ewon menggesa para usahawan negeri ini supaya merebut peluang latihan dan bimbingan yang ditawarkan oleh INSKEN, di samping merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, agensi di bawah KUSKOP serta komuniti usahawan yang terus komited membangunkan perniagaan masing-masing.
![]()