Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon sumbang tujuh ekor lembu korban kepada tujuh masjid DUN Kadamaian

0

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan Aidiladha sebayak tujuh ekor lembu kepada tujuh buah masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha pada Isnin (17 Jun).

Sumbangan itu disampaikan kepada setiap wakil masjid pada majlis ringkas di perkarangan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kadamaian, Kg.Piasau, pada Sabtu.

Penerima sumbangan lembu korban ialah Masjid Kg. Tengkurus, Kg. Tambulion, Kg. Lompios, Kg. Tekulung, Kg. Kebidahan, Kg. Rajunah dan Kg. Lobong-Lobong.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian  berkata, penyampaian sumbangan sempena sambutan perayaan keagamaan adalah acara tahunannya sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Krismas yang lalu, saya juga turut menyampaikan sumbangan di Kadamaian sebagai tanda keprihatinan dan perpaduan kepada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama di kawasan ini.

“Saya akan teruskan acara ini setiap tahun bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan persaudaraan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Masjid Kg. Rajunah, Md.Amzar Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat Islam di kawasan Kadamaian.

“Pada sambutan Raya yang lepas pun YB Datuk Ewon telah menyampaikan sumbangan di kampung kami berupa wang ringgit dan kali ini, seekor lembu untuk sambutan Aidiladha.

“Bagi mewakili penduduk kampung, saya amat berterima kasih kepada Datuk Ewon atas sumbangan ini dan kami berharap sumbangan ini memberikan inspirasi kepada rakyat untuk terus bekerjasama  memajukan kampung,” katanya.

Pengerusi JKKK Kg. Lompios, Zuraidah Mandai turut merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan seekor lembu untuk Masjid Al Hidayah di kampung itu.

“Ini tanda keprihatinan YB kepada masyarakat Islam di kampung kami. Pada sambutan Krismas dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, kampung kami turut menerima sumbangan daripada YB Datuk Ewon,” katanya.

Turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan beliau sempena Aidiladha hari ini ialah Pengerusi JKKK Kg. Kobidahan, Junny Simpol dan Wakil Masjid Nurul Huda Kg.Tongkurus Yongit @ Abdullah Ajis.

 79 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.