Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pita yakin boleh menang kes mahkamah halang parti MFP dibubarkan

0

BANGKOK: Pemimpin Parti Move Forward (MFP) yang gagal dalam usaha menjadi perdana menteri baharu Thailand, Pita Limjaroenrat yakin akan memenangi kes mahkamah yang boleh menyebabkan partinya dibubarkan.

Parti MFP dalam kempen pilihan rayanya, berikrar memperbaharui undang-undang fitnah kerajaan yang keras, namun mahkamah tertinggi negara itu memutuskan dasar itu menyalahi undang-undang.

MFP memenangi kebanyakan kerusi dalam pilihan raya umum tahun lalu, tetapi parti itu digugurkan daripada gabungan pemerintah dan Pita dihalang menjadi perdana menteri kerana parti itu dikatakan mahu menukar undang-undang yang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn daripada dikritik.

Mahkamah Perlembagaan negara itu kini sedang mempertimbangkan untuk membubarkan MFP, namun Pita percaya mereka akan menang berdasarkan sembilan pembelaan yang dibuat di mahkamah itu.

“Saya sangat yakin dengan sembilan hujah saya. Sembilan hujah kami memberi tumpuan kepada bidang kuasa dan proses,” katanya kepada wartawan.

Thailand mempunyai sejarah campur tangan kehakiman dalam politik dan pada 2020 parti pendahulu MFP, Future Forward Party, dibubarkan atas perintah mahkamah berkenaan dengan isu kewangan.

Pita menegaskan pembubaran MFP – parti tunggal terbesar di parlimen – boleh membawa kesan yang serius.

“(Tindakan membubarkan MFP) itu bermaksud serangan terhadap demokrasi. Ini bukan hanya mengenai saya secara peribadi, ini bukan hanya mengenai parti, tetapi benar-benar berhubung perbincangan mengenai ruang demokratik di Thailand.”

Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand meminta Mahkamah Perlembagaan membubarkan MFP selepas keputusan terdahulu oleh mahkamah bahawa janji parti untuk meminda undang-undang ‘lese majeste’ adalah cubaan untuk meruntuhkan monarki berperlembagaan.

Pada 2020, parti Future Forward Party dibubarkan, menjadi pemangkin bagi demonstrasi jalanan yang dipimpin oleh belia yang menggegarkan Bangkok untuk beberapa bulan.

Beribu-ribu penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan pada acara puncak demonstrasi, ramai di antaranya membuat kritikan awam yang mana sebelum ini tidak pernah berlaku terhadap keluarga diraja.

Lebih daripada 270 orang telah dituduh dengan lese majeste susulan daripada protes itu, termasuk dua wakil rakyat yang dipilih.

Undang-undang fitnah diraja Thailand adalah di antara yang paling ketat di dunia, dengan setiap tuduhan membawa hukuman penjara hingga 15 tahun.

Pengkritik berkata undang-undang itu disalahgunakan untuk menyekat perdebatan politik yang sah.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.