Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon tinjau banjir, tanah runtuh di Penampang, umum langkah pemulihan segera

0

PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 13 Sept – Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, meninjau kesan banjir dan tanah runtuh di beberapa kampung daerah ini, sambil mengumumkan langkah segera termasuk penyaluran bantuan, penambahan pusat pemindahan serta cadangan projek tebatan banjir baharu.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, melawat kawasan runtuhan di Jalan Penampang–Tambunan, Kampung Dungkahang dan Kampung Penampang Proper, selain Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Huguan Siou Tuavon dan PPS Kompleks Sukan Penampang.

Tinjauan di Kampung Pogunon diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bersama Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya dan ADUN Kapayan Datuk Jannie Lasimbang. Sebanyak lapan lokasi tanah runtuh dilaporkan di sepanjang Jalan Penampang–Tambunan, dengan hanya satu lorong dibuka sementara kepada pengguna jalan raya.

“Ketua Menteri telah mengarahkan JKR, Lintasan Resources dan Sabah Electricity melakukan pemulihan segera. Saya percaya isu bekalan air terputus di beberapa kampung juga akan diatasi dalam masa terdekat,” kata Ewon.

Beliau berkata pasukan Pusat Khidmat Parlimen Penampang digerakkan sejak semalam untuk mengagihkan bakul makanan, membersihkan lumpur dan membiayai penggunaan jentera pembersihan runtuhan. Pam air turut diserahkan kepada JKKK Kampung Dungkahang, Kampung Penampang Proper dan Kampung Tuavon.

Menurut Ewon, berbanding sebelum ini hanya Dewan Pusat Kebudayaan Sabah dijadikan PPS, kini sebanyak 21 bangunan awam dan komuniti di Penampang boleh diwartakan sebagai pusat pemindahan jika berlaku bencana besar.

Beliau juga memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bencana itu semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching semalam, selain mencadangkan peruntukan Rumah Mesra SMJ digunakan untuk membina semula atau membaiki rumah yang rosak teruk.

Ewon turut mengusulkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air supaya mempercepatkan projek tebatan banjir Penampang pakej 2 dan 4, melengkapkan pakej 1 dan 3 yang sedang berjalan.

Dalam masa sama, beliau berbincang dengan Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, Datuk Awang Shahminan Awang Sahari, mengenai penyaluran bantuan ehsan kepada mangsa banjir di PPS.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.