Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO Perkukuh Kedudukan di Gum-Gum, Lawatan Dr. Peter Jr Naintin Disambut Meriah

0

SANDAKAN (Sabah, Malaysia), 13 Sept – Sambutan masyarakat terhadap UPKO di DUN Gum-Gum semakin memberangsangkan apabila bendera parti mula berkibar di kawasan setempat, mencerminkan penerimaan akar umbi yang kian meningkat.

Baru-baru ini, Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr. Peter Jr Naintin, mengetuai lawatan dan sesi taklimat jentera pilihan raya di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) – Semawang dan Dandulit. Kehadiran masyarakat tempatan yang ramai serta penglibatan aktif mereka dalam sesi tersebut menandakan sokongan yang semakin kukuh terhadap parti.

Menurut penganalisis politik tempatan, lawatan tersebut bukan sahaja memperlihatkan keterhubungan kepimpinan UPKO dengan akar umbi, tetapi juga mengukuhkan strategi parti dalam menawan semula kepercayaan rakyat di kawasan Sandakan, khususnya di Gum-Gum. Kehadiran Dr. Peter Jr Naintin memberi isyarat jelas bahawa UPKO serius membina rangkaian jentera yang bersiap siaga menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Rakyat di kawasan ini menuntut pemimpin baharu yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik tanpa mengira bangsa dan agama. UPKO dilihat memiliki kelebihan kerana tampil dengan imej kepimpinan inklusif serta rekod keterlibatan aktif dalam menyuarakan isu rakyat.

Dengan sambutan positif di Semawang dan Dandulit, ditambah dengan strategi konsisten UPKO membina kekuatan di PDM-PDM strategik, peluang parti itu untuk menawan hati pengundi Gum-Gum menjelang PRN-17 semakin cerah.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.